Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor hari ini diberitahu kerja-kerja menaik taraf Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) daripada dua lorong kepada empat lorong telah dibatalkan oleh kerajaan pusat.
Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor hari ini diberitahu kerja-kerja menaik taraf Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) daripada dua lorong kepada empat lorong telah dibatalkan oleh kerajaan pusat.

ISKANDAR PUTERI – Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor hari ini diberitahu kerja-kerja menaik taraf Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) daripada dua lorong kepada empat lorong telah dibatalkan oleh kerajaan Pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Johor Mazlan Bujang berkata perkara itu diputuskan dalam sesi libat urus pada 17 Julai lalu melibatkan Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya dan Unit Perancang Ekonomi.

“Oleh kerana naik taraf dan pelebaran SDE adalah penting bagi menyokong pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang dan menangani kadar aliran trafik yang semakin meningkat seiring kepesatan pembangunan tersebut, Johor akan terus berbincang dengan kerajaan persekutuan untuk mendapatkan pertimbangan meneruskan projek tersebut,” kata Mazlan.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab Datuk Syed Sis Syed A. Rahman (BN-Tanjung Surat) yang ingin tahu ketetapan masa bagi pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf lebuh raya itu.

Mazlan berkata kerja-kerja menaik taraf itu sebelum ini dicadangkan bermula dari persimpangan Cahaya Baru di Ulu Tiram hingga ke persimpangan Bandar Penawar, Pengerang di Kota Tinggi melibatkan jarak sepanjang 26 kilometer.

Katanya peruntukan sebanyak RM390 juta yang diluluskan kerajaan terdahulu juga diumumkan pada 12 Dis tahun lepas oleh Menteri Kerja Raya ketika itu Datuk Seri Fadillah Yusof.

— BERNAMA