Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution bercakap pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan (KPDNHEP) di kementeriannya, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 10 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan mengkaji semula eksport telur ke luar negara bagi mengawal harga telur daripada terus naik.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, beliau akan bertemu dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bag menilai semula perkara itu kerana ia mengakibatkan pengurangan bekalan itu di peringkat nasional.

“Kita akan teliti sama ada munasabah atau tidak perkara ini sekalipun untuk jangka pendek.

“Kalau itu boleh membantu mengurangkan harga telur dan beri kebaikan kepada rakyat, jadi yang itu kita akan teliti supaya kenaikan ini tidak berlaku secara berterusan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bulanan di kementeriannya hari ini.

Menurut beliau, kementeriannya mendapati harga telur naik secara konsisten sejak pertengahan bulan November lalu sehingga awal Disember ini.

Malah, harga telur meningkat setiap minggu di pasaran runcit negara.

Perubahan itu jelas beliau dikesan melalui pungutan harga oleh pegawai pemantau harga kementerian.

Ditanya sama ada kerajaan mempunyai kuasa untuk berbuat demikian, Saifuddin berkata, memang kerajaan tidak boleh berbuat demikian.

Namun satu jalan harus diambil bagi memastikan rakyat tidak terus ditekan dengan kenaikan harga barang yang semakin meruncing kini.

“Sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak, saya akan bincang dengan Kementerian Pertanian, bahkan tidak menolak untuk berjumpa lagi dengan pengeluar telur negara.

“Tapi apabila trend kenaikan harga telur ini memberikan kesan kepada rakyat, saya akan tengok balik dengan persatuan pengusaha telur.

“Dalam pasaran ekonomi terbuka, mereka tidak suka dikawal bila itu berlaku kita akan tengok rakyat akan terima kesan, jadi kerajaan harus menjaga kepentingan semua pihak,” katanya lagi.

Pada September lalu, Saifuddin mengakui bahawa harga telur bagi gred B dan C meningkat selepas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan 1 Jun lalu. -MalaysiaGazette