Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 10 DISEMBER 2018
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 10 DISEMBER 2018

PUTRAJAYA- Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab terhadap keseluruhan perkara yang berlaku di dalam negara ini termasuk berhubung pembangunan di Pulau Kukup yang terletak di Johor.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, kerajaan negeri Johor perlu menerima pendirian Kerajaan Persekutuan yang tidak mahu Pulau Kukup dibangunkan bagi mengelakkan hutan paya bakau itu musnah.

“Malaysia bukan orang asing, Kerajaan Persekutuan juga bukan orang luar.

“Kami bertanggungjawab terhadap kesemua perkara yang berlaku di dalam negara.

“Ini (keputusan untuk tidak membenarkan sebarang pembangunan dilakukan di Pulau Kukup) adalah pendirian Kerajaan Persekutuan.

“Saya berharap Johor boleh terima bahawa kami tidak menyentuh hal Sultan kerana apa yang kami bangkitkan ini adalah mengenai kepentingan Pulau Kukup sebagai hutan simpan dan tidak boleh dibangunkan,” katanya yang sekali gus menjawab kenyataan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengatakan “orang luar tidak perlu masuk campur urusan negeri Johor.

Jangan guna isu Pulau Kukup helah kerana anda tidak ‘perform’ – TMJ

Sebelum itu Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar membuat kenyataan mengatakan pertukaran status Pulau Kukup daripada sebuah taman negara kepada tanah Kesultanan mungkin boleh menjejaskan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa dari segi biodiversiti.

Kenyataan tersebut kemudiannya dijawab oleh Tunku Ismail yang memberi amaran supaya  orang luar tidak perlu campur tangan di dalam urusan negeri Johor kerana negeri berkenaan mempunyai undang-undang sendiri.- MalaysiaGazette