KUALA LUMPUR – Portal berita Malaysia Gazette dipilih sebagai penerima Anugerah Pencapaian Khas bagi Kecemerlangan Media Online sempena Anugerah Keusahawanan Muda India Perdana (Perdana YIEA) 2018 malam tadi.
Portal berita ini diberikan penghargaan ini berikutan kecemerlangannya dalam menghasilkan pelbagai laporan berita termasuk kupasan isu-isu menarik membabitkan komuniti India di negara ini.
Anugerah itu turut memberi pengiktirafan kepada Ketua Pengarang Malaysia Gazette, Noraini Abd Razak atas kecemerlangan dan hasil usaha beliau dalam mengemudi portal berita itu sejak penubuhannya lima tahun lepas.
Perdana YIEA telah disampaikan oleh Pengerusi MIEC, M. Mathuraiveran dan Tan Sri Dr Mani Jegathesan.
Majlis itu dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.
Perdana YIEA adalah inisiatif Koperasi Usahawan India Malaysia (MIEC), merupakan cara tahunan yang telah mula diadakan sejak 2004 bagi mengiktiraf golongan usahawan atas pencapaian mereka dalam bidang-bidang perniagaan.
Majlis anugerah kali ke-13 itu bertemakan ‘Memupuk Usahawan India’ turut mendapat kerjasama daripada Social Entrepreneurs Network (SeNet).
Pengerusi MIEC, M. Mathuraiveran yang bercakap kepada MalaysiaGazette berkata, pihaknya amat menghargai usaha yang dilakukan oleh portal berita ini sehingga menyebabkan para juri membuat keputusan untuk memberikan anugerah khas tersebut.
“Kita semak latar belakang dan apakah jenis sumbangan yang telah dilakukan oleh Malaysia Gazette sebelum membuat keputusan untuk memberikan anugerah media ini.
“Anugerah seperti ini bukan sahaja disifatkan sebagai satu penghargaan, malah ia adalah satu sokongan moral untuk memberi semangat kepada pengamal media supaya melakukan sesuatu lebih baik serta cemerlang pada masa hadapan.
“Media memainkan peranan penting kepada negara dan rakyat, laporan-laporan yang dihasilkan banyak mencorakkan pemikiran mereka secara keseluruhan, perlu sesuatu yang neutral, selain daripada gambaran sebenar tanpa berpihak kepada mana-mana pihak,” katanya. MalaysiaGazette