Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah pengguna Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh – Kajang (SBK) mencatatkan purata 157,000 penumpang sehari bagi tempoh Januari hingga September 2018, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar.

Beliau berkata, angka tersebut menunjukkan peningkatan 37 peratus berbanding pencapaian pada tahun 2017 (Julai hingga Dis 2017 : 115,000 penumpang sehari).

“Pertambahan bilangan penumpang ini menggambarkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan dan kecekapan perkhidmatan rel bandar yang semakin meningkat.

“Selaras dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai mod pengangkutan utama pilihan rakyat, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi meningkatkan lagi bilangan penumpang MRT,” katanya menjawab soalan Senator Ismail Yusop pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Ismail ingin tahu mengenai perancangan untuk mengatasi masalah tahap pengguna rendah terhadap MRT3 berdasarkan kajian Center for Governance and Political Studies (Cent-GPS).

Kamarudin berkata antara inisiatif yang dilakukan ialah pelaksanaan sistem tiket bersepadu antara perkhidmatan rel dan sistem bas pengantara bagi memudahkan akses penumpang MRT, dan peningkatan operasi MRT pada waktu puncak iaitu setiap empat minit.

“Pada 1 Dis lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut melancarkan pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 sebagai langkah mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette