Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan (KPDNHEP) di kementeriannya, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 10 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memastikan harga subsidi RON95 dan harga apungan bahan api itu tidak akan memberi jurang yang besar kepada pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mahu jurang harga antara penerima subsidi bersasar dengan pembeli biasa akan memberikan kesan kepada indeks harga pengguna pada masa akan datang.

“Kalau harga apungan itu jurangnya sangat besar, sebagai contoh 30 sen, apakah pada hari pertama pelaksanaan petrol bersubsidi bersasar yang beli dengan harga apungan perbezaan harganya 30 sen.

“Jadi kita tidak mahu itu berlaku, kalau harus berlaku kenaikan 30 sen, ia tidak boleh berlaku mendadak. Ia mesti berlaku dalam masa 6 bulan, jadi kenaikan melibatkan 30 sen. Ia melibatkan jumlah yang kecil,” katanya dalam sidang media di kementeriannya hari ini.

Pemberian subsidi bersasar petrol RON95 dijangka dapat dilaksanakan pada suku kedua tahun depan.

Rundingan ke arah itu telah dilakukan dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan ia dapat dilaksanakan mengikut  jadual.

Kerajaan dalam Belanjawan 2019, November lalu mengumumkan pemberian subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter yang terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta dengan kapasiti enjin di bawah 1,500cc.

Manakala 40 liter sebulan bagi pemilik motosikal 125cc dan ke bawah.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan memperuntukkan RM2 bilion bagi pemberian subsidi secara bersasar itu dan akan memanfaatkan seramai 4 juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast