KUALA LUMPUR – Pembukaan Persimpangan Bertingkat Pantai Sentral akan dapat mengurangkan masa perjalanan pengguna jalan raya kira-kira 30 minit pada waktu puncak.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Mohd. Tahir berkata, pada kebiasaanya tempoh perjalanan mengambil masa lebih kurang 50 minit pada waktu puncak.
Jelas beliau, pembukaan persimpangan itu bakal memberi faedah secara langsung kepada pengguna dari arah Pantai Dalam dan Kerinchi.
“Pengguna boleh menikmati laluan terus ke Lebuhraya New-Pantai Express (NPE) tanpa perlu melalui persimpangan lampu isyarat di Jalan Bukit Angkasa, Jalan Kerinchi, Jalan Pantai Murni dan Jalan Pantai Murni 1.
“Saya percaya kesesakan lalu lintas akan dapat dikurangkan sekali gus memberi keselesaan kepada pengguna Lebuhraya NPE dan penduduk kawasan sekitar Lembah Pantai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ketika berucap pada majlis perasmian Persimpangan Bertingkat Pantai Sentral di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan, IJM Corporation Berhad, Datuk Soam Heng Choon.
Mengulas lanjut, Mohd. Anuar menegaskan, menjadi keutamaan kerajaan untuk menyediakan infrastruktur asas yang moden, rangkaian jalan raya atau lebuh raya yang selamat, selesa serta mempunyai tahap perkhidmatan yang baik.
Jelas beliau, pembinaan dan pembukaan rangkaian-rangkaian lebuh raya merupakan satu keperluan dan elemen penting untuk menggerakkan nadi pembangunan ekonomi dan infrastruktur negara.
“Projek pembinaan Persimpangan Bertingkat Pantai Sentral ini merupakan satu contoh inisiatif kerjasama antara kerajaan dan juga syarikat pemaju perumahan dalam memberi kemudahan dan manfaat kepada kepada penduduk di kawasan sekitar,” katanya.
Sementara itu, projek pembinaan Persimpangan Bertingkat Pantai Sental menelan kos RM98 juta yang ditanggung sepenuhnya oleh IJM Land Berhad dan Amona Developement Sdn. Bhd..
Ia merangkumi kos operasi, penyelenggaraan dan pengambilalihan tanah.
Projek itu siap dibina sepenuhnya dalam tempoh 18 bulan.
Persimpangan bertingkat sepanjang 2.8 kilometer itu berfungsi sebagai pintu keluar masuk tambahan yang menghubungkan NPE dengan perbandaran Pantai Sentral Park.
Persimpangan itu akan dibuka kepada pengguna jalan raya bermula pukul 6 petang ini. – MalaysiaGazette