Md Ali Amir Batcha
Bekas Tahanan Tanpa Bicara Ordinan Darurat, Md. Ali Amir Batcha mengelap airmata ketika bercakap pada sidang media mengenai penyalahgunaan kuasa dan penganiayaan terhadap pihak berkuasa di Restoran Amjal, Taman Bukit Pantai, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 13 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPURĀ – Bekas penguasa polis, Md Ali Amir Batcha yang pernah bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (D9) hari ini menuntut keadilan dan sedia dibicarakan semula di mahkamah selepas ditahan tanpa bicara di bawah Ordinan Darurat (EO) pada 1997.

Md Ali mendakwa, beliau menjadi mangsa konspirasi apabila dikenakan pertuduhan palsu menggunakan ‘saksi hantu’ oleh Unit Siasatan Dalaman berhubung salah laku rasuah di agensi itu.

“Saya ingin nama, imej dan maruah saya dibersih dan diberi pengiktirafan yang selayaknya. Semua pihak yang menganiaya saya di dalam konspirasi ini perlu dibawa ke muka pengadilan seterusnya diadili dan dihukum sewajarnya.

“Saya sedia dibicarakan di mahkamah terbuka. Semasa saya di Johor, saya terima banyak tohmahan daripada mereka, apabila saya dituduh di mahkamah terbuka, saya bebas sebab saya memang tak buat.

“Tetapi saya dipenjara hanya kerana saksi A, saksi B dan saksi C adalah saksi-saksi hantu dan saya boleh kata saksi puaka, mereka sebenarnya penjenayah,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Md Ali Amir Batcha
Bekas Tahanan Tanpa Bicara Ordinan Darurat, Md. Ali Amir Batcha bercakap pada sidang media mengenai penyalahgunaan kuasa dan penganiayaan terhadap pihak berkuasa di Restoran Amjal, Taman Bukit Pantai, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 13 DISEMBER 2018.

Md Ali mendakwa, kejayaannya melumpuhkan kegiatan kongsi gelap di Johor sejak 1995 menjadi perangkap kepada dirinya kerana dipercayai jenayah terancang itu dilindungi oleh anggota polis berjawatan tinggi di negeri itu.

“Saya telah ditahan tanpa bicara selama tiga tahun di Simpang Renggam di bawah EO dan ditahan secara tidak sah oleh Badan Pencegahan Rasuah (BPR) selama enam bulan 22 hari akibat pertuduhan akibat pertuduhan dan bukti yang direka-reka.

“Saya kehilangan pekerjaan, faedah pencen dan semua faedah yang sepatutnya dinikmati oleh penjawat awam lain yang setaraf.

“Malah maruah saya telah dihancurkan dan dianggap sebagai penjenayah oleh komuniti pihak berkuasa dan masyarakat awam,” katanya.

MGF13122018_SIDANG MEDIA PENYALAHGUNAAN KUASA DAN PENGANIAYAAN TERHADAP PIHAK BERKUASA_05
Bekas Tahanan Tanpa Bicara Ordinan Darurat, Md. Ali Amir Batcha bercakap pada sidang media mengenai penyalahgunaan kuasa dan penganiayaan terhadap pihak berkuasa di Restoran Amjal, Taman Bukit Pantai, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 13 DISEMBER 2018.

Katanya, antara pertuduhan palsu hingga mengakibatkannya ditahan tanpa bicara ialah membeli 13 pucuk pistol daripada penjenayah, terlibat dalam 34 kes samun, mengambil hasil rompakan, merancang untuk melakukan samun terhadap Public Bank dan French Bank di Kulai Johor.

“Biar terlepas 10 orang tanpa bukti daripada kita hukum satu orang dizalimi tanpa bukti tetapi dalam undang-undang pencegahan ini kebanyakan yang dipetik ialah tak tahu apa pun.

“Saya tidak terlibat pun bahkan saya sudah bertukar (ke Selangor) pun tapi masih dituduh. Ada saksi kukuh daripada anggota saya, saya minta bawa ke mahkamah terbuka, itu lebih adil,” katanya.

Md Ali juga berkata, sejak ditahan dari 1997 hingga 2000, beliau mengalami masalah kewangan teruk hingga terpaksa menjual kesemua hartanya untuk menanggung kos guaman bagi menuntut keadilan.

“Harta saya digadaikan semata-mata untuk membayar upah peguam dan turun naik ke pejabat pihak-pihak berwajib bagi mendapatkan keadilan bagi pihak saya,” katanya.

Beliau turut berkata, pihak berkuasa juga mewujudkan satu mekanisme atau prosedur operasi standard (SOP) untuk menangani budaya ‘petik-memetik’ bagi melindungi penjawat awam daripada menjadi mangsa fitnah dan diadili secara salah.

“Kalau budaya ini berterusan ramai penjawat awam atau anggota keselamatan yang jujur dan berintegriti menjalankan tugas dikenakan tuduhan palsu hingga ditahan tanpa bicara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette