Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tiada surcaj tarif elektrik akan dikenakan kepada semua pengguna domestik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun 2019 walaupun kerajaan bersetuju meneruskan pelaksanaan mekanisme kos tak berimbang (ICPT) bagi tempoh tersebut, kata Suruhanjaya Tenaga.

Menurut suruhanjaya itu, ia berikutan keputusan kerajaan untuk menggunakan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik sebanyak RM308 juta bagi meringankan beban rakyat.

“Kadar tarif asas adalah kekal pada 39.45 sen/kilowatt-jam (kWj),” kata surhanjaya itu dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan pelepasan surcaj ICPT kepada pengguna komersial dan industri secara berperingkat dengan mengekalkan surcaj itu pada kadar semasa semasa sebanyak 1.35 sen/kWj untuk tempoh 1 Jan hingga 28 Feb 2019.

“Bermula 1 Mac hingga 30 Jun 2019, surcaj ICPT ialah 2.55 sen/kWj,” katanya.

Suruhanjaya Tenaga berkata, pelepasan surcaj secara berperingkat kepada pengguna bukan domestik itu dilaksanakan berikutan semakan mekanisme ICPT bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Dis 2018 menunjukkan berlaku peningkatan dalam kos bahan api dan kos penjanaan lain sebanyak RM1.8 bilion, iaitu bersamaan dengan 3.43 sen/kWj.

Katanya antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan tersebut ialah peningkatan harga purata bahan api arang batu kepada US$97.835/tan metrik, berbanding harga yang telah diunjurkan dalam tarif asas bagi tempoh kawal selia kedua Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) (Tempo Peraturan 2: 2018 hingga 2020) iaitu US$75/tan metrik.

Bagi mengurangkan kesan peningkatan surcaj ICPT itu ke atas bil elektrik pengguna, Suruhanjaya Tenaga berkata, kerajaan mengambil pendekatan menggunakan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik itu bagi pengguna domestik.

Bagi pengguna komersial, industri dan lain-lain, katanya sebahagian surcaj ICPT tersebut akan ditampung dengan menggunakan penjimatan daripada pelarasan kos dan hasil Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah kerangka IBR tahun 2018 yang berjumlah RM564 juta.

Oleh itu, baki surcaj ICPT sebanyak RM948 juta dilepaskan kepada pengguna bukan domestik secara berperingkat.

Suruhanjaya Tenaga berkata pelepasan surcaj secara berperingkat itu dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan pihak industri yang membangkitkan isu bahawa Kerajaan sering kali membuat pengumuman berkenaan pengenaan surcaj tarif elektrik di saat-saat akhir sehingga mengakibatkan syarikat menghadapi kesukaran untuk membuat perancangan kewangan yang teratur.

“Pelaksanaan secara berperingkat ini dijangka akan memberi ruang untuk syarikat membuat perancangan kewangan yang lebih berkesan,” katanya.

Pada masa sama, katanya Kerajaan juga telah mengarahkan TNB untuk menyediakan kalkulator tarif elektrik yang dapat dicapai melalui portal www.myelectricitybill.my.

Katanya kalkulator tersebut akan membantu pengguna menganggarkan bil elektrik bulanan mereka bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Dis 2020 dan membantu pengguna elektrik, khususnya pengguna komersial dan industri untuk membuat perancangan kewangan dengan lebih berkesan.- MalaysiaGazette