Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad antara orang kenamaan yang hadir hari ini untuk menziarahi jenazah bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin, yang meninggal dunia petang semalam.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad antara orang kenamaan yang hadir hari ini untuk menziarahi jenazah bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin, yang meninggal dunia petang semalam.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad antara orang kenamaan yang hadir hari ini untuk menziarahi jenazah bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin, yang meninggal dunia petang semalam.

Dr Mahathir tiba kira-kira 9.15 pagi di Surau At Tarbiah, Taman Melawati di sini bagi menyertai solat jenazah bersama ratusan anggota keluarga, sahabat seperjuangan dan rakan politik dalam suasana pilu itu.

Beliau meluangkan masa kira-kira 10 minit berbual dengan waris Allahyarham sambil membacakan Al-Fatihah dan doa untuk Allahyarham yang meninggal dunia akibat sakit jantung itu.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di surau tersebut selepas selesai dimandikan dan dikafankan di Hospital Serdang malam tadi.

Dr Mahathir kemudian turut mengiringi van jenazah keluar untuk dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate, Hulu Klang, kira-kira 500 meter dari surau tersebut.

Turut kelihatan di surau itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Sasterawan Negara Datuk Seri Abdul Samad Muhammad Said atau A. Samad Said, bekas Pengerusi Media Prima Berhad Tan Sri Johan Jaafar, bekas Menteri Kewangan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang.

Hadir sama bekas Timbalan Menteri Penerangan Tan Sri Dr Khalid Yunus, penerbit dan pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam serta Datuk Rosyam Nor.

Zainuddin, 79, meninggal dunia di Hospital Serdang kira-kira 6.40 petang Jumaat kerana serangan jantung.

Zainuddin yang lebih dikenali dengan nama Zam, dirawat di Hospital Putrajaya sejak 12 Nov dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan setelah dikesan paru-parunya berair sebelum dipindahkan ke Hospital Serdang.

Sementara itu, Gobind ketika ditemui turut menzahirkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan jasanya sebagai bekas Menteri Penerangan akan sentiasa diingati.

–BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast