M. Kula Segaran
Menteri Sumber Manusia, M.Kulasegaran (dua kiri) bersalaman dengan sebahagian majikan yang hadir pada Sesi Dialog Majikan Industri Getah di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 15 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Semua majikan perlu membuat Audit Pematuhan Sosial dalam usaha membendung pelanggaran piawaian dan perundangan perburuhan terhadap isu berkaitan kebajikan di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, laporan audit itu mampu menjawab tohmahan seperti yang dibuat oleh media asing baru-baru ini.

Beliau memberitahu, bagi merealisasikan pelaksanaan itu, pihaknya telah bersetuju untuk melantik Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago sebagai Penyelaras Badan Audit Bebas.

“Kertas cadangan telah dikemukakan kepada Charles yang memiliki kepakaran dan juga aktivis dalam hak pekerja di negara.

“Beliau akan mengkaji kertas itu dalam tempoh sebulan ini berdasarkan Piawaian Buruh Antarabangsa dan Kabinet telah maklum tentang hal ini.

“Audit Pematuhan Sosial ini penting, contohnya dalam usaha mengesan masalah pekerja yang perlu bekerja lebih masa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Majlis Dialog Bersama Majikan-Majikan Dalam Industri Getah di kementerian di sini hari ini.

Dialog itu diadakan susulan dakwaan Badan Asing Bukan Kerajaan seperti The Guardian, ABC Australia News dan Thomas Reuters Foundation terhadap Syarikat Top Glove Sdn. Bhd. berkaitan pelanggaran piawaian dan perundangan buruh di negara ini.

Kula Segaran memberitahu, pihaknya memandang serius tuduhan tersebut dan ia masih lagi dalam peringkat siasatan.

Jelas beliau, penyiasatan bukan dijalankan ke atas syarikat yang dituduh sahaja malah melibat banyak syarikat pengeluar sarung tangan getah lain di negara ini.

“Semua sudah maklum Malaysia merupakan negara pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia dengan pengeluaran 160 bilion setahun dengan menawarkan peluang pekerjaan sebanyak 20,000 kepada orang tempatan dan 50,000 pekerja asing.

“Jadi kami berharap Audit Pematuhan Sosial ini dapat membolehkan semua majikan mematuhi standard dan undang-udang yang ditetapkan selain laporan audit itu mampu menjawab tuduhan lain pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette