Real Madrid masih memiliki pemain-pemain terbaik di dunia dalam setiap posisi, kata Marcelo.

MADRID – Pemain bek kiri Real Madrid, Marcelo mengakui kelab itu merindui aksi bekas bintang mereka, Cristiano Ronaldo.

Goal.com melaporkan, pemain antarabangsa Brazil itu berkata, kesan pemergian Ronaldo itu sudah dijangka apabila gergasi La Liga itu terpaksa bergelut di peringkat awal kempen musim ini.

Namun di bawah pengurus baharu, Santiago Solari, mereka kini berada lima mata di belakang Barcelona.

Selepas sembilan musim bersama dengan Madrid, Ronaldo meninggalkan kelab tersebut pada Julai untuk menyertai juara Serie A, Juventus.

Marcelo memberitahu, Madrid jelas merindui pemain terbaik di dunia itu tetapi percaya penyandang Juara-Juara Eropah hanya merasai kesannya untuk sementara waktu.

“Amat jelas apabila pemain terbaik dunia tidak berada di dalam pasukan dan anda akan merinduinya.

“Tetapi kami masih memiliki pemain-pemain terbaik di dunia dalam setiap posisi.

“Cuma semua kelab pasti mengidam Cristiano dalam pasukan mereka dan Madrid akan terus berdiri walaupun pemain datang dan pergi,” katanya.

Ronaldo kini semakin memuncak prestasi baiknya di Juve dengan jaringan 11 gol dalam 20 perlawanan musim ini. – MalaysiaGazette