Petisyen desak P. Waytha Moorthy letak jawatan hampir cecah 200,000 tandatangan.
Petisyen desak P. Waytha Moorthy letak jawatan hampir cecah 200,000 tandatangan.

KUALA LUMPUR – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menamakan diri mereka sebagai Gerakan Pengundi Sedar (GPS) telah mewujudkan satu petisyen mengumpul tandatangan orang ramai mendesak Senator P. Waytha Moorthy meletakkan jawatan.

Sehingga tengah hari ini, petisyen itu telah mengumpul sebanyak 187,058 tandatangan sebagai isyarat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya melucutkan jawatan dan anugerah senator ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Menurut pernyataan, NGO berkenaan terdiri dari pelbagai agama, kaum, latarbelakang dan pendirian politik menuntut perlucutan jawatan P. Waytha sebagai menteri bahagian Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.

Katanya, desakan itu atas sebab menteri berkenaan telah memburukkan imej negara di platform antarabangsa dengan menyebarkan fitnah kononnya rakyat Malaysia beragama Hindu telah didiskriminasi.

“Dia memfitnah kepada dunia luar kononnya penganut Hindu perlu memeluk Islam jika mahu mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam, manakala rumah ibadat mereka telah dirobohkan sesuka hati oleh pihak berkuasa.

“Dia juga berkeras mahu meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) atas kapasitinya sebagai menteri walaupun mendapat tentangan dan bantahan daripada Bumiputera.

“Dia juga gagal mengawal ketegangan antara kaum yang semakin memuncak sejak kebelakangan ini walaupun telah diberikan mandat untuk berbuat demikian sebagai menteri,” kata pernyataan NGO itu.

Menurutnya, P. Waytha juga dikatakan mempunyai latarbelakang agak kontroversi seperti pernah menyertai perhimpunan haram HINDRAF 2007, dan pasport antarabangsanya pernah dibatalkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Beliau juga, kata NGO itu lagi, mempunyai kepentingan dengan pemimpin HINDRAF yang pernah ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Selain itu, beliau gagal menyelesaikan isu tanah kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya atas kapasitinya sebagai menteri perpaduan.

“Sebaliknya, beliau menyalahkan polis dengan alasan kononnya pihak berkuasa itu lambat mengawal rusuhan semasa kejadian rusuhan,” katanya.

Sehubungan itu, GPS menuntut perlucutan jawatan P. Waytha sebagai menteri demi mengekalkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama. – MalaysiaGazette