Jenazah Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim diusung oleh anggota Bomba dan ahli keluarga untuk proses pengkebumian di Tanah Perkuburan Masjid As-Saadah, Kuala Kedah, Kedah. foto AFIQ RAZALI, 18 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) diseru supaya bertindak segera kepada sesiapa sahaja yang mencetuskan rusuhan sehingga menyebabkan kehilangan nyawa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Selain itu, Naib Presiden MIC, Datuk C. Sivarraajh juga mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P .Waytha Moorthy dan Ahli Exco Negeri Selangor, V.Ganabatirau juga bertanggungjawab atas insiden itu.

Katanya, kenyataan mereka semasa insiden itu telah menimbulkan prasangka buruk dalam kalangan masyarakat sehingga mencetuskan keadaan huru hara sehinggaada  nyawa terkorban.

“Tindakan KDN harus menyusul dengan berani tanpa memihak mana mana pihak.

“Barang kali insiden ini tidak berlaku jika pemaju bertindak secara berhemah dalam melaksanakan keputusan mahkamah.

“Pemaju tidak perlu mengupah sekumpulan gangster untuk mencetusakan rusuhan pada malam tesebut. Pada hemat saya, pihak pemaju perlu juga dipertanggungjawabkan di atas kejadian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkara sama, beliau turut membidas Waytha dan Ganabatirau yang sepatutnya bertanggungjawab atas segala huru-hara tersebut.

“Sebagai pemimpin, mereka berdua harus faham tanggung jawab mereka ialah untuk meredahkan situasi dan bukannya mengapi-apikan keadaan dengan kenyataan bukan – bukan..mereka berdua harus bertanggungjawab di atas kenyataan mereka.

“Saya berharap kita semua dapat bersama – sama menuntut keadilan bagi Allahyarham Muhammad Adib,” ujarnya lagi.

Ahli Parlimen Cameron Highlands itu memaklumkan beliau bersama beberapa pemimpin tertinggi, Presiden MIC Tan Sri S. A. Vigneswaran Timbalan Presidennya Datuk Seri M.Saravanan, menziarahi Allahyarham Adib ketika dirawat di Unit Kecemasan Subang Jaya Medical Center sebelum ini.

Malah katanya pihaknya turut memohon maaf kepada ibu dan ayah arwah yang begitu sedih akan keadaan anak mereka.

Sivarrajh turut merayu rakyat Malaysia untuk kekal tenang dan jangan mencetuskan kejadian yang tidak diingini lagi.

“Kita semua perlu menghormati dan memberi kepercayaan kepada pada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan dan menegakkan keadilan demi Allahyarham Adib,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette