Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Wira Azhar Abdul Hamid bercakap pada sidang media mengenai Laporan Bersepadu Tahunan 2017 FGV di Menara FELDA, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 JUN 2018
Azhar Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan China Machinery Engineering Corporation (CMEC) untuk menerokai potensi usaha sama atau kerjasama dalam
membangunkan fasiliti pengeluaran kertas pulpa serta pengedaran dan pengkomersilan perniagaan produk berkenaan ke pasaran dunia.

Perniagaan utama CMEC adalah dalam bidang kontrak kejuruteraan, pakar dalam pembinaan projek janakuasa dan turut merangkumi perdagangan, pelaburan, penyelidikan & pembangunan (R&D) dan perkhidmatan antarabangsa.

CMEC juga bekerjasama dengan institut penyelidikan di Hangzhou dan Guangxi, menggunakan teknologi untuk menukar
tandan buah kosong kepada kertas pulpa untuk dikomersilkan.

Ketika ini CMEC disenaraikan di Hong Kong Stock Exchange dengan modal pasaran sebanyak HKD15.88 bilion (RM8.58 bilion).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Interim FGV, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, dalam keadaan harga minyak sawit mentah yang tidak menentu, inisiatif ini adalah selari dengan strategi FGV untuk fokus kepada aktiviti hiliran dengan mengoptimumkan penggunaan produk sampingan daripada operasi sedia ada untuk mencipta nilai kepada kumpulan.

“FGV menghasilkan kira-kira 3.47 juta tan tandan buah kosong setahun daripada 68 buah kilang sawit di seluruh Malaysia. Projek hijau ini juga selari dengan inisiatif sisa ke nilai dalam usaha memastikan kemampanan operasi kami

“Dengan MoU ini, FGV berharap dapat menerokai peluang untuk mengintegrasikan operasi kilang dengan kepakaran kejuruteraan CMEC bagi membangunkan fasiliti pengeluaran kertas pulpa dengan kapasiti sebanyak 50,000 MT setahun (Fasa1), selain dapat memanfaatkan kejuruteraan dan pengetahuan luas CMEC dalam pasaran pulpa di China,” katanya.

Industri kertas dan pulpa China telah berkembang pesat dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 182.3 peratus dari tahun 2006 hingga 2016.

Ini selari dengan peningkatan jumlah import kertas pulpa China antara 2009 hingga 2017 sebanyak 73.4 peratus dan sebanyak 23.72 juta tan telah diimport pada 2017.

FGV jangka mampu memanfaatkan permintaan tinggi kertas pulpa di China memandangkan harganya mencecah hampir AS$900 bagi setiap tan. – MalaysiaGazette