Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam  menyifatkan keputusan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serah tugas kepada timbalannya sebagai satu kemenangan besar kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, keputusan Presiden UMNO itu adalah satu perkara yang amat mendukacitakan kepada parti dan ahli-ahlinya.

“Ini satu kemenangan besar kepada Tun Mahathir yang telah berusaha sedaya upaya bagi memastikan kekalahan Zahid dalam pemilihan UMNO dan menggunakan pelbagai pihak dalam UMNO untuk memberikan tekanan kepada Datuk Seri Zahid agar bercuti sebagai Presiden.

“Ahli UMNO bukanlah sebodoh seperti yang Tun Mahathir sangka. Lagi banyak seseorang itu didakwa oleh musuh parti, lagi yakin kami kepada pemimpin-pemimpin kami itu.

“Zaman Law of The Jungle ini, mereka yang bersalah selamat dari sebarang bentuk hukuman, manakala mereka yang tidak bersalah dengan mudah dipalit dengan pendakwaan walaupun belum selesai siasatan.

“Lebih menyedihkan, banyak pemimpin-pemimpin UMNO yang bobrok membiarkan diri mereka dipergunakan oleh Tun Mahathir, walaupun SPRM menggunakan perkataan “kita dakwa Zahid dahulu dan kita siasat kemudian”.,” katanya berhubung pengumunan pengerahan tugas Presiden UMNO kepada  Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kini menghadapi 46 pertuduhan iaitu 11 pertuduhan pecah amanah, 27 pengubahan wang haram dan 8 pertuduhan rasuah.

Ahmad Zahid dalam kenyataan malam tadi berkata, beliau merasai keresahan segelintir pimpinan UMNO kerana khuatir mereka akan menerima tekanan, siasatan dan tuduhan demi tuduhan seperti yang dialaminya.

“Demi keutuhan Umno dan demi kepentingan pimpinan di semua peringkat, terutama Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN-ADUN serta UMNO bahagian-bahagian, langkah-langkah menyelamatkan situasi tersebut harus dilakukan segera.

“Saya harap semua polemik mengenai kepimpinan ditamatkan dan saya mahu kepimpinan di peringka akar umbi fokus memperkukuhkan parti,” katanya.

Lokman juga mencadangkan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dilantik sebagai ketua pembangkang ketika Ahmad Zahid bercuti daripada jawatan Presiden parti.

Menurutnya, Najib perlu menjadi pemimpin de facto UMNO dalam tempoh sekarang bagi mengembalikan parti itu ketahap yang sediakala.

“Dalam situasi kritikal begini, UMNO perlu khidmat seorang pemimpin yang berpengalaman dan dihormati oleh anggota-anggota Parlimen BN yang masih belum melompat.

“Atas dasar itu, selaku anggota Majlis Kerja Tertinggi UMNO, saya mencadangkan agar Datuk Seri Presiden UMNO, melantik Najib Razak sebagai Ketua Umum UMNO dan Ketua Pembangkang, sementara Presiden UMNO bercuti,” katanya. -MalaysiaGazette