Zed Zaidi (kanan) bertemu Benjy (kiri) di Penjara Tanjung Gusta, Medan, Indonesia baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pelakon Benjy yang sedang menjalani hukuman di Penjara Tanjung Gusta, Medan, Indonesia menulis nota tulisan buat peminatnya di negara ini.

Menerusi nota itu Benjy, 39, dia memaklumkan akan ditahan lebih lama dan mengharapkan doa orang ramai ke atas kesihatanya.

“‘Aku lama lagi kat sini. Jadi tolong doakan yang kesihatan aku jadi lebih baik. Aku kena sihat untuk terus hidup di sini. Doakan segala usaha aku untuk pulang dipermudah,” tulisnya.

Perkembangan terkini anak pelakon veteran, Allahyarham Azean Irdawaty itu diceritakan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi yang bertemu enjy di penjara terbabit pada Sabtu lalu menerusi sidang media di sini, hari ini.

“Seniman amat bersimpati terhadap Benjy yang menghidap penyakit asma kritikal dan sering batuk tanpa henti. Malah, dia berpotensi diserang penyakit tibi atau batuk kering.

“Dalam rangka lawatan itu, Seniman menyalurkan sedikit sumbangan bagi membolehkan dia membeli ubat-ubatan.

“Kami juga mendapatkan nasihat doktor mengenai masalah kesihatannya. Doktor beritahu Benjy memerlukan kira-kira RM500 sehingga RM1,000 sebulan untuk membeli ubat,” katanya.

Pada April 2017, Benjy ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Deli Serdang Sumatera Utara oleh pihak Kastam dan Eksais di sana sejurus tiba dari Kuala Lumpur.

Mengikut laporan, Benjy disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 4.5 gram yang disembunyikan alam duburnya.

Berikutan itu, Benjy dijatuhkan hukuman penjara selama 11 tahun 3 bulan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah Medan Sumatera Utara.

Zed berkata, persatuan juga akan mengadakan lawatan berkala ke Penjara Tanjung Gusta bersama rakan-rakan artis bagi memberi sokongan moral kepada Benjy. – MalaysiaGazette