Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik (dua kanan) diiringi Pengarah Sektor Pembelajaran Murid di (PADU), Datin Rosliza Rosli (kanan) melakukan gimik Pelancaran Kempen Guru Pembelajaran Abad-21 anjuran Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) di TGV DPulze Cyberjaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 DISEMBER 2018.

CYBERJAYA – Dengan berbekalkan keprihatinan terhadap golongan pendidik, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan ‘Kempen Guru Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21)’ bagi kumpulan itu berkongsi pengalaman pengajaran mereka.

Kempen yang berakhir pada 31 Januari tahun hadapan sebenarnya akan memberi peluang kepada lebih 400,000 warga pendidik untuk berkongsi pengalaman pengajaran mereka menggunakan pendekatan berasaskan PAK21 kepada masyarakat umum.

Menurut Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, beliau sangat teruja dengan kempen ini yang sebenarnya lebih kepada perjuangan berteraskan kepada lima piawaian asas iaitu komunikasi, kolaborasi, pemikiran kritis, kreativiti serta nilai dan sahsiah (4K1N).

“Saya sangat teruja dengan PAK21 sebenarnya. Kita sedia tahu dengan para pendidik kita yang mempunyai kreativiti tinggi serta tersendiri dalam mengaplikasi kaedah pengajaran berteraskan PAK21, dan untuk kita mengharapkan mereka untuk berkongsi pengalaman tersebut kepada orang lain.

“Sebenarnya PAK21 merupakan ciri-ciri dan kemahiran yang perlu ada dalam setiap murid dalam mendepani cabaran abad ke-21. Objektif utama kempen ini adalah menyediakan ruang serta pendekatan terbaik dalam membawa unsur PAK21 ke dalam kelas pembelajaran,” katanya.

Maszlee berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan PAK21 anjuran Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) sebentar tadi.

Terdahulu ketika berucap, Maszlee membuat pendedahan berhubung laporan ‘Future of Jobs di World Economic Forum’ yang menyatakan 65 peratus murid sekolah rendah masa kini akan bersaing untuk mendapatkan pekerjaan dalam bidang yang masih belum lagi wujud.

“Atas faktor ini juga telah mendorong kita untuk melakukan persediaan dengan pedagogi terkini dalam pengajaran dan pembelajaran agar kemahiran kendiri murid dapat ditingkatkan supaya sentiasa relevan dalam karier masing-masing,” ujarnya.

Dalam pada itu, kempen PAK21 yang boleh disertai oleh semua warga pendidik dengan memuat naik maklumat strategi kreatif PAK21 yang digunakan di dalam kelas ke laman sesawang rasmi kempen  di http://www.gurupak21.com/ sama ada menerusi format penulisan 300 patah perkataan ataupun video berdurasi tiga minit.

Sebanyak 10 penyertaan terbaik yang dipilih akan berpeluang mendapat bimbingan dari mentor profesional, memenangi hadiah menarik serta menghadiri sesi ramah mesra bersama Maszlee kelak. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast