Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas mengenai isu lompat parti di Bangunan UMNO Selangor, Shah Alam. foto HAZROL ZAINAL, 17 DISEMBER 2018.

PETALING JAYA – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memainkan peranan terbaik sebagai “orang kedua” termasuk melaksanakan misi membantu partinya merampas semula Putrajaya.

Ismail Sabri berkata, beliau akan membantu pemangku presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengukuh UMNO dan memulihkan keyakinan orang ramai terhadap parti itu.

Menurutnya, memandangkan Mohamad bukan Ahli Parlimen, maka Majlis Tertinggi UMNO perlu berbincang tentang calon Ketua Pembangkang pada Januari atau Februari tahun depan.

Tambahnya, perbincangan UMNO itu akan disusuli dengan mesyuarat dengan parti-parti pembangkang yang lain.

“Sesi Parlimen seterusnya akan diadakan pada Mac, kami perlu berbincang dengan Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menentukan calonnya,” katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau juga berharap tiga kem berlainan dalam UMNO yang menyokong Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai presiden dapat Bersatu semula.

“Saya berharap semua ahli dapat bersatu untuk mengukuhkan parti,” katanya.

Beliau percaya, pengunduran Ahmad Zahid akan menamatkan kemelut yang melanda UMNO.

“Kebanyakan wakil rakyat keluar kerana tidak berpuas hati dengan pemimpin, sekarang sudah tiada alasan untuk mereka keluar parti selepas Ahmad Zahid bercuti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast