ASB
Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (kiri) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad pada Pengumuman Pengagihan Pendapatan ASB dan ASN di Menara PNB, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 21 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mengumumkan agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun 2018 sebanyak 6.50 sen menyusut berbanding tujuh sen seunit tahun lepas.

PNB turut mengumumkan bonus sebanyak 0.50 sen seunit tahun ini berbanding 0.25 sen tahun lepas.

Jumlah agihan sebanyak RM10.7 bilion yang akan dimanfaatkan oleh 9.6 juta pemegang unit yang memiliki kira-kira 155 bilion unit dalam ASB.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, tahun 2018 adalah tahun yang mencabar kepada pasaran kewangan tempatan dan global bagaimanapun firma pengurusan dana itu masih mampu mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh dan memberi pulangan kompetitif kepada pemegang-pemegang unit.

Setakat 30 November 2018, ASB merekodkan pendapatan bersih sebanyak RM8.99 bilion untuk 11 bulan pertama tahun kewangan yang mana sebahagian besarnya diperoleh daripada dividen dan keuntungan modal daripada pelaburannya.

“Di sebalik cabaran-cabaran tersebut, agihan pendapatan ASB masih kekal kompetitif dan lebih tinggi daripada penanda aras-penanda aras sepertinya walaupun lebih sederhana berbanding tahun lepas,” ketika mengumunkan agihan pendapatan ASB dan Amanah Saham Nasional (ASN) di sini hari ini.

Setakat 20 Disember 2018, indeks FBM KLCI telah menurun sebanyak 8.1 peratus bagi tahun ini menjadikannya empat daripada lima tahun yang mana indeks mencatatkan pulangan harga negatif dalam susulan penurunan semua pasaran ekuiti termasuk di peringkat global.

Bagi saham amanah unit berubah ASN pula, PNB mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 3.25 sen seunit berbanding 3.65 sen seunit tahun lepas yang mewakili hasil dividen sebanyak 5.1 peratus berdasarkan Nilai Aset Bersih dana tersebut setakat 20 Disember 2018.

Sejumlah RM59.7 juta dianggarkan akan diagihkan kepada 1.2 juta pemegang unit yang memiliki 1.8 bilion unit ASN. -MalaysiaGazette