Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang media mengenai Ketua Perhimpunan Aman Pemandu Teksi, Kamarudin Hussain yang didakwa ingin memburukkan beliau di Wisma Central, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 21 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Gabungan di antara Nurul Izzah Anwar, Rafizi Ramli dan Khairy Jamaluddin akan dapat memberikan tekanan kepada Pakatan Harapan (PH) selain daripada menjadi suara proaktif kepada generasi muda dalam negara jika mereka benar-benar mahu menubuhkan parti mewakili golongan belia.

Itu pendapat penganalisis politik, Datuk Shamsubahrin Ismail melihat kerjasama ketiga-tiga ahli politik muda itu yang dikatakan merancang sesuatu dalam arena politik tanahair.

Sehubungan itu Pengarah Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd itu menyokong ura-ura yang bertiup kencang sebelum ini tentang tiga ahli politik muda itu menjadi kenyataan.

“Saya nampak jalan yang cerah apabila peletakan jawatan Nurul Izzah daripada semua jawatan dalam kerajaan dan dalam parti dan juga pertemuan makan tengah hari di antaranya, Rafizi dan Khairy.

“Saya dapat lihat ini adalah satu detik sekiranya tiga pemimpin muda dalam politik Malaysia ini bekerjasama untuk tubuhkan parti bukan untuk menentang PH tetapi untuk memberikan tekanan kuat kepada PH untuk buat reformasi kepada menteri-menteri yang dipilih.

“Bukan sahaja cerah masa depan industri teksi tetapi keseluruhannya. Jadi saya sokong gosip tentang tiga ahli politik muda ini untuk tubuh parti baru untuk mewakili generasi muda menjadi realiti,” katanya kepada pemberita ketika sidang media hari ini.

Namun begitu beliau berkata, Nurul Izzah, Rafizi dan Khairy perlu meninggalkan parti masing-masing terlebih dahulu.

Gambar ketiga-tiga ahli politik itu makan bersama-sama menjadi tular pada mulanya dan menjadi faktor wujudnya dakwaan mereka bakal menubuhkan parti baharu berteraskan orang muda.

Pertemuan mereka bertiga berlangsung selepas Nurul Izzah membuat keputusan mengejut meletakkan jawatan Naib Presiden PKR dan Pengerusi parti itu di Pulau Pinang.

Dalam pada itu Shamsubahrin menyifatkan amaran daripada Lim Kit Siang bahawa DAP bersedia untuk meninggalkan PH sekiranya pembentukan Malaysia Baharu tidak wajar.

Sebagai bukan sahaja seorang penasihat malahan veteran DAP, Kit Siang menurutnya tidak sepatutnya berkata demikian.

“Kit Siang punya kenyataan untuk keluar daripada Pakatan Harapan saya rasa itu kenyataan kebudak-budakan,” katanya kepada pemberita.

Beliau turut mengambil kesempatan menyelar DAP yang kini menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan sepatutnya menumpukan bantuan yang perlu diberikan kepada bukan sahaja keseluruhan rakyat termasuk pemandu teksi.

“Kita perlukan DAP dalam kerajaan sedarlah, bangunlah tolonglah pemandu-pemandu teksi. Janganlah perkecilkan industri teksi,” katanya lagi.

Kit Siang menerusi blognya baru-baru ini berkata, pemimpin DAP tidak akan menjadikan diri mereka sebagai MCA 2.0  atau seperti pemimpin MCA yang hanya mewakili kaum Cina di Malaysia.

Tambahnya, pemimpin DAP dalam kerajaan akan memainkan peranan penting untuk membina Malaysia Baharu dan menyelamatkannya daripada kegagalan, mengamalkan demokrasi olok-olok, kakistokrasi (pemerintahan paling teruk) dan kleptokrasi global.-MalaysiaGazette