Mas Ermieyati Shamsudin

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin kini sah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai ahli biasa sahaja.

Pengesahan itu dibuat oleh Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, kelulusan permohonan bekas Ketua Puteri UMNO itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung parti itu baru-baru ini.

“Mas Ermieyati kini menjadi ahli biasa Bersatu. Beliau akan hadir sebagai pemerhati pada Perhimpunan Agung Bersatu pada minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Bersatu di sini hari ini.

Pada 13 Disember lalu, Mas Ermieyati telah menyerahkan sendiri borang permohonan keahlian parti kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mas Ermieyati berkata, keputusan beliau itu adalah kerana ingin mencari penyelesaian yang lebih berkesan dalam membela kepentingan terutama pengundi di parlimennya, Masjid Tanah.

Mas Ermieyati antara pemimpin UMNO yang mengumumkan keluar daripada parti itu dengan menjadi Ahli Parlimen Bebas pada 1 Julai lalu. – MalaysiaGazette