Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Sejumlah 274,639 pekebun kecil getah Risda bakal menerima bantuan sebanyak RM600 bagi meringankan beban sara hidup berikutan musim tengkujuh yang menyebabkan pendapatan mereka terjejas.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, peruntukan khas tersebut akan dibayar dalam dua peringkat iaitu sebanyak RM300 pada akhir tahun ini dan baki RM300 lagi akan dibayar pada Januari depan.

Kerajaan memperuntukkan RM164.783 juta bagi menyediakan peruntukan khas berkenaan.

Kesukaran para pekebun kecil getah RISDA telah mendapat perhatian dan keprihatinan YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang meluluskan Bantuan Musim Tengkujuh ini.

“Justeru itu, Kementerian Kewangan menyediakan peruntukan khas sebanyak RM164.783 juta melibatkan RM600 yang akan dibayar dalam dua peringkat.

“Semoga pemberian bantuan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh pekebun kecil getah RISDA yang terjejas punca pendapatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bantuan ini melibatkan penerima seramai 255,997 pekebun kecil getah yang merupakan pemilik yang mengusahakan sendiri kebun mereka (pemilik pengusaha) dan 18,642 penoreh bukan pemilik yang mengusahakan tanah berkeluasan tidak melebihi 2.5 hektar.

Kementerian Kewangan katanya, akan menyalurkan peruntukan tahun 2018 berjumlah RM164.783 juta kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi selaku kementerian yang mengawal selia RISDA.-MalaysiaGazette