tsunami
Gambar hiasan.

JAKARTA- Terdapat 20 gunung berapi di Indonesia yang berada di atas paras aktiviti normal, kata Pusat Pengurusan Bencana Gunung Berapi dan Geologikal (PVMBG).

Menurut Ketua PVMBG, sektor pengurusan gunung berapi wilayah barat, Kristianto, beberapa gunung berapi tersebut merupakan destinasi popular pelancong semasa cuti perayaan Krismas dan Tahun Baharu.

Bagaimanapun, PVMBG telah bekerjasama dengan pengurus-pengurus pelancong di kawasan berkenaan, katanya.

“Salah satu daripada 20 gunung berapi tersebut diletakkan di bawah status bahaya, dua dalam keadaan siapsiaga dan baki 17 lagi di bawah status berjaga-jaga.

“Gunung Sinabung yang terletak di Sumatera Utara di letakkan di bawah status bahaya manakala Gunung Agung berhampiran Bali pula diletakkan di bawah status siaga,” katanya seperti yang dipetik tempo.co.

Menurut Kristianto, PVMBG telah memberi arahan berjaga-jaga bagi Gunung Tangkubanparahu, Gunung Dieng, Gunung Papandayan, Gunung Gede dan Gunung Bromo dan agensi tersebut sentiasa bersedia untuk memberikan maklumat terkini.

Apa yang membimbangkan kesemua gunung berapi tersebut mampu meletus tanpa memberi sebarang amaran.

“Bukannya tiada langsung amaran tetapi ianya sangat rendah dan tidak disedari,” katanya lagi.

Beberapa gunung berapi tersebut mempunyai ciri-ciri berkenaan termasuk Gunung Tangkubanparahu dan Papandayan.

Pada 2013 contohnya, beberapa letusan di Gunung Tangkubanparahu tidak dimulakan dengan petunjuk-petunjuk jelas.

“Boleh dibayangkan sekiranya ia berlaku pada waktu siang, pastinya ia akan mencetuskan panik dan mungkin akan mencederakan orang ramai.

“Secara umumnya letusan yang disebabkan oleh phreatic tidak panas tetapi ia mampu mencetuskan suasana panik dan menyebabkan masalah yang lebih serius berlaku.

“Inilah yang kita perlu pantau,” katanya lagi.

Tambah Kristianto, PVMBG telah mewujudkan saluran komunikasi intensif bagi menghadapi bencana tersebut terutamanya ketika musim cuti.

Malam tadi, letusan gunung berapi Anak Krakatau yang tidak memberikan sebarang petunjuk awal telah menyebabkan tsunami membadai selat Sunda dan mengorbankan lebih 168 nyawa.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast