KUALA LUMPUR – Bekas juara Piala AFC 2015, Johor Darul Ta’zim (JDT) menyasarkan untuk meraih kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut pada musim depan bagi membolehkan mereka terus beraksi dalam saingan AFC Champions League.

Menurut pemain tengah JDT, Nazmi Faiz Mansor, pasukan itu sedang melakukan persiapan rapi untuk memastikan tahap kecergasan mereka berada di tahap terbaik sebelum musim baharu Liga Malaysia membuka tirainya.

Malah, JDT juga bakal ke luar negara untuk menghadapi beberapa perlawanan persahabatan sebagai persiapan terakhir mereka.

“Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar tetapi masih banyak lagi yang perlu dipertingkatkan dari segi taktikal memandangkan skuad ini belum lengkap sepenuhnya.

“Kami akan menghadapi perlawanan pra-musim bulan hadapan dimana ia adalah persiapan terakhir kami untuk mengharungi musim 2019,” katanya dalam satu kenyataan di laman facebook JOHOR Southern Tigers.

Nazmi turut mengakui bangga menjadi sebahagian daripada skuad Harimau Selatan yang sentiasa meraih pelbagai kejayaan pada setiap tahun. Beliau juga tidak sabar untuk mencipta sejarah baharu pada musim 2019.

“JDT sentiasa mencipta sejarah selama ini dan visi ini perlu dikekalkan. Selain menjadi pasukan pertama dari Malaysia bermain di ACL, impian untuk menjuarai Liga Super buat kali keenam berturut-turut menjadi keutamaan kami. Saya bangga menjadi sebahagian dari projek besar ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast