KUALA LUMPUR – Ahli-ahli UMNO yang meninggalkan parti itu bukan seorang pejuang politik sebaliknya mereka adalah golongan yang tewas dalam perjuangan.
Lantaran itu, pemergian golongan tersebut tidak perlu diratapi apatah lagi mereka yang meninggalkan UMNO adalah individu yang tidak setia.
Malah, mereka itu juga disifatkan sebagai virus dalam UMNO yang merosakkan parti tersebut.
Secara sinis, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengucapkan terima kasih kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang telah menerima golongan itu.
Katanya, tindakan mereka keluar UMNO dan menyertai PPBM tidak akan membuatkan parti itu’ hilang tidur’, sebaliknya, mereka pasti akan membuatkan parti yang ditunjangi oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ‘berjaga malam’.
Ini kerana, katanya, sifat virus biar di mana pun mereka berada, pasti akan membawa sakit dan rebah.
Tegas Mohamed Khaled, pejuang tidak akan pernah lari daripada perjuangan asalnya, yang menjadi tunjang kepada pegangan dan prinsipnya biarpun dalam keadaan sukar dan penuh cabaran.
Katanya, mana mungkin kepercayaan yang didukung selama enam dekad berubah dan menjadi tohor dalam 6 bulan selepas tewas.
“Saya tidak mahu kita semua terus dibelenggu keresahan dengan pemergian mereka. Yang pergi, biarkan pergi. Yang tinggal, harus bangkit dan menjalankan tanggungjawab bersama. Pada saya, ada beberapa pengajaran yang boleh kita perhati dan jadikan teladan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mengulas situasi yang melanda UMNO sekarang, beliau berkata, tindakan mengalu-alukan pelarian UMNO menunjukkan kerapuhan kedudukan dan sisi sebenar penerimanya.
Menurutnya, parti dan mereka yang dianggap kental dan benar-benar berdarah pejuang rupa-rupanya tidak lebih daripada sekadar pertubuhan Alumni UMNO.
Jika trend ini berterusan, percayalah, bekas-bekas ahli UMNO akan lebih ramai dalam sesuatu parti itu, termasuklah melebihi jumlah mereka yang mula-mula sekali mengasas dan memperjuangkannya.
“Terdesak? Tiada pilihan? Demi kelangsungan? Semua ini adalah teka-teki yang tidak terlalu sukar untuk kita jawab. Terpulang untuk kita menilainya sendiri,” ujar beliau lagi.
Khaled berkata, senario lari parti oleh pemimpin UMNO telah mendorong parti itu untuk menyemak semula maksud perjuangan dan iltizam politik.
Beliau tidak menyangkal bahawa wang, pengaruh dan kesenangan itu merupakan instrumen yang sedikit sebanyak membantu dalam perjuangan tetapi jangan pula ada yang keliru dan terpedaya.
Bekas Menteri Besar Johor itu mengakui sedih dan kesal apabila wang, pengaruh, jawatan dan kuasa menjadi pertaruhan sambil mengenepikan rakyat dan pengundi yang memilih pemimpin-pemimpin berkenaan.
“Apakah rakyat dan pengundi adalah perkiraan paling akhir dalam membuat keputusan? Sehinggakan undi yang mereka
buang atas nama parti asal mereka itu sudah sedikit pun tidak bernilai?,” soalnya.
Beliau juga meramalkan pemimpin dan ahli-ahli UMNO yang menyertai PPBM itu akan menjadikan parti tersebut seperti UMNO juga.
Mereka itu, katanya, akan membawa bersama budaya politik naugan dan wang, mencari segala kesempatan dan ruang bukan untuk berjuang, tetapi mengaut manfaat untuk diri mereka.
“Pengikut-pengikut mereka, penyokong-penyokong mereka, pasti akan ditarik masuk ke dalam Bersatu. Perhimpunan Agung PPBM sudah tidak lama. Saksikan sendiri nanti bagaimana mereka ini akan turun dan melebar pengaruh.
“Sedikit demi sedikit, Bersatu akan diambil alih. Sedikit demi sedikit, yang ‘Bersatu’ akan ‘Berpecah’. Bersatu akan menyaksikan kem-kem baharu – kem ahli sejati dan pejuang asal Bersatu dan kem ‘pendatang’ dan ahli bawaan alumni UMNO.
“Pada saat itu, kalian akan melihat, mengapa UMNO tidak pernah gusar dengan pemergian mereka,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada PPBM kerana membersihkan UMNO.-MalaysiaGazette