Tony
Tan Sri Tony Fernandes

KUALA LUMPUR – “Laporan polis! Untuk menyatakan kebersihan tidak dijaga,” kata Tan Sri Tony Fernandes yang mengulas laporan seorang kakitangan AirAsia diminta memberi keterangan kepada polis kerana menyiarkan video yang memaparkan ulat di tong sampah di klia2.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia itu, pengendali lapangan terbang itu, Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) tidak akan berubah.

“MAHB tidak akan berubah. Buli dan ancam,” dakwanya dalam akaun Twitter beliau hari ini.

Menurut Tony, pihaknya terpaksa menghadapinya untuk tempoh yang panjang.

Portal berita, Malay Mail melaporkan seorang kakitangan AirAsia akan dipanggil polis untuk memberi keterangan selepas beliau memaparkan penjagaan kebersihan yang teruk di klia2 di akaun Twitternya.

Menurut laporan itu, Ketua Komunikasi AirAsia, Mohd Aziz Laikar dijadualkan diambil keterangan pada Rabu ini kerana ‘mencemar’ imej MAHB.

Mohd Aziz menyiarkan rakaman video yang menunjukkan tong sampah penuh dengan ulat di lapangan terbang itu, selain mempersoalkan kenyataan yang dikeluarkan MAHB pada minggu lalu mengenai prestasi baik pengurusan lapangan terbang itu untuk bulan Oktober.

Menurut Mohd Aziz, Pada pukul 8.30 pagi ini, polis telah menghubungi beliau menyatakan MAHB telah membuat laporan polis terhadapnya.

Sementara itu, MAHB dalam akaun Twitternya semalam memandang serius insiden tersebut dan telah menjalankan siasatan.

“Kami telah mengkaji rakaman CCTV yang menunjukkan kontraktor kebersihan telah mengosongkan tong sampah kurang daripada 24 jam daripada masa ia dilaporkan kepada kami.

“Berdasarkan siasatan awal, ulat hanya dijumpai di luar dan di permukaan tong sampah,” katanya.

Menurut MAHB, tiada ulat ditemui dalam beg plastik dalam tong, dan juga tiada bau busuk dalam tong sampah.

Berikutan itu, katanya, satu laporan polis telah dibuat untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette