GAMBAR FAIL- Lukisan Ayah kepada Allayarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Kassim Abdul Hamid milik Pelukis Karikatur Kamal's Art Limited, Rafie Kassan. foto MALAYSIA GAZETTE, 25 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Tersentuh hati melihat foto bapa Allahyarham Muhamad Adib di kubur anaknya mendorong seorang pelukis warga Singapura melukis kembali imej tersebut menggunakan kaedah lukisan digital.

Menurut Rafie Kassan, 47, sebaik saja melihat foto Mohd Kassim Abdul Hamid yang diambil oleh jurufoto MalaysiaGazette, beliau terbaca pula sajak nukilan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai arwah.

Ujar pelukis karikatur itu, ini menyebabkan beliau terfikir untuk menghasilkan semula imej Mohd Kassim yang diberi tajuk ‘Hanya Tinggal Doa’.

” Pelukis biasa-biasa macam saya ni kalau tiada permintaan pun masih terus melukis, sekadar mengasah bakat. Namun dalam hal ini, saya mahu seluruh rakyat Malaysia ‘tahu sejarahnya’.

” Ini adalah kali pertama saya membuat satu lukisan yang bagi saya sangat bermakna dan memberi peringatan pada masa hadapan,” ujarnya melalui emel kepada Malaysia Gazette.

MGF18122018_JENAZAHMUHAMMADADIBDIKEBUMIKAN_30
Bapa kepada Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Mohd Kassim Abdul Hamid tidak dapat menahan kesedihan apabila dibacakan talkin untuk jenazah anaknya di Tanah Perkuburan Masjid As-Saadah, Kuala Kedah, Kedah. foto AFIQ RAZALI, 18 DISEMBER 2018.

Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim merupakan seorang anggota bomba yang meninggal dunia selepas lebih tiga minggu dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Beliau cedera parah setelah dipukul perusuh di tapak kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Selangor baru-baru ini.

MGF25122018_RAFIE KASSAN01
GAMBAR FAIL- Pelukis Karikatur Kamal’s Art Limited, Rafie Kassan. foto MALAYSIA GAZETTE, 25 DISEMBER 2018

Mengulas lanjut, Rafie berkata, disebabkan sibuk dengan tugasan hariannya, beliau mengambil masa hampir tiga hari untuk menghasilkan lukisan berkenaan.

” Sejujurnya saya sentiasa mahu menyampaikan kesedaran kepada masyarakat melalui karya-karya saya cuma adakalanya saya takut ia tidak memberi kesan.

” Mengenai lukisan ini, sesiapa pun boleh mencetak kembali lukisan tersebut tetapi kalau mahu membelinya beserta dengan tanda tangan saya sendiri, saya sudi untuk berbuat demikian,” kata Rafie.

Tambah beliau, saiz lukisan digital ‘Hanya Tinggal Doa’ tersebut adalah 2560 x 1600 (5.24 MB).

Rafie boleh dihubungi melalui WhatsApp di talian +65932409340. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast