Ibu Pejabat PNB di Jalan Tun Razak

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pelantikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Datuk Zainun Ali, bekas Timbalan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Dr. Nik Ramlah Nik Mahmood dan Datuk Johan Ariffin sebagai ahli-ahli baharu Lembaga Pengarah PNB berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Mereka menggantikan ahli-ahli lembaga pengarah yang bakal bersara pada 31 Disember 2018, iaitu Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan Tan Sri Zarinah Anwar.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, PNB berharap akan memperoleh manfaat daripada sumbangan mereka seiring dengan fokus berterusan kita untuk menguatkan daya tahan dan melaksanakan mandat untuk memperkasakan kekayaan ekonomi komuniti Bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia.”

“Saya dengan sukacita mengalu-alukan pelantikan ahli-ahli baharu menyertai Lembaga Pengarah PNB dengan pengalaman luas yang mereka miliki serta saling melengkapi dalam bidang masing-masing iaitu pelaburan, undang-undang, ekonomi dan juga hartanah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

PNB juga memaklumkan berkuatkuasa pada 31 Disember 2018, Profesor Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali akan bersara sebagai ahli Lembaga Pengarah ASNB dan PNB Research Institute Sdn Bhd.

“Bagi pihak Lembaga Pengarah PNB dan ASNB, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Lembaga Pengarah PNB dan ASNB yang akan bersara atas komitmen dan sumbangan mereka selama ini. PNB telah memperoleh manfaat daripada ilmu serta bimbingan mereka sepanjang tempoh mereka menjadi ahli Lembaga Pengarah PNB dan ASNB,” tambah Zeti

Dengan pelantikan baharu ini, komposisi Lembaga Pengarah PNB dan ASNB mulai 1 Januari 2019 adalah seperti berikut:-

Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad:

  1. Tan Sri Dr. Zeti Aziz (Pengerusi Kumpulan PNB)
  2. Datuk Abdul Rahman Ahmad (Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB)
  3. Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir
  4. Tan Sri Datuk Zainun  Ali
  5. Datuk Dr. Mohd. Yaakub Johari
  6. Datuk Soedirman  Aini
  7. Datuk Dr. Nik Ramlah Nik Mahmood
  8. Datuk Johan Ariffin

Lembaga Pengarah Amanah Saham Nasional Berhad: 

  1. Tan Sri Dr. Zeti Aziz (Pengerusi Kumpulan PNB)
  2. Datuk Abdul Rahman Ahmad (Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB)
  3. Mohammad Hussin (Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Eksekutif ASNB)
  4. Datuk Seri Dr. Nik Norzrul Thani  Nik Hassan Thani
  5. Dato Dr. Nik Ramlah Nik Mahmood – MalaysiaGazette