KUALA LUMPUR – Kerajaan ketika ini disaran supaya berhenti ‘berlagak’ seperti pembangkang dan tidak berhenti-henti menuding jari sebaliknya mencari jalan penyelesaian bagi sesuatu isu apatah lagi sekiranya melibatkan isu perkauman.

Malah, baru-baru ini apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menyebabkan sesuatu bandar dikuasai oleh satu-satu kaum sahaja ada kewajarannya.

Begitu luahan Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah yang bercakap dengan MalaysiaGazette hari ini.

Kata Murugiah, tidak ada keperluan untuk mana-mana pihak cuba menjadikan isu ini sebagai perkauman dan mendakwa Abdul Hadi sebagai rasis.

“Betul kata beliau (Abdul Hadi) malah anda semua perlu ingat sesuatu. Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri ada menyatakan pilihan raya tidak boleh diadakan ketika ini.

“Daripada anda semua melontarkan pelbagai macam reaksi dan tohmahan adalah lebih baik berfikir apakah jalan terbaik untuk tangani permasalahan ini.

“Mungkin jika pilihan raya ini dilihat hanya akan dikuasai oleh kaum majoriti tertentu mungkin ada baik kita membuat lantikan mengikut ratio dan adil bagi semua kaum? Itu jauh lebih baik daripada terus berbalah.

“Lantikan kepada pemimpin yang layak ini dengan semua kaum akan meredakan keresahan isu seperti ini, mengapa tidak kerajaan cuba berfikir mungkinkah ini antara alternatif daripada terus cuba menyalahkan Pas atau Hadi?

“Apakah sebenarnya niat untuk terus mengecam Hadi dan Pas bahawa mereka rasis walhal rakyat berbilang kaum di Kelantan masih hidup di bawah teraju mereka?

“Mohon lebih proaktif daripada terus membuat isu ini terus melarat, jangan politikkan semua perkara kerana ianya hanya akan membantutkan pembangunan negara serta merugikan rakyat,” katanya lagi.

Murugiah yang juga merupakan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini mengulas isu kelmarin, sesi dialog bersama Abdul Hadi di London bertukar panas apabila seorang hadirin menggelar Presiden Pas itu sebagai rasis kerana membantah pilihan raya kerajaan tempatan.

Abdul Hadi berkata, sekiranya pilihan raya PB diadakan ia berkemungkinan akan menyebabkan rusuhan kaum seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969.

Tambah Murugiah, insiden salah seorang peserta bertindak ‘kasar’ dengan melontarkan persoalan serta tuduhan secara kurang sopan terhadap Abdul Hadi sesuatu yang dikesali dan tidak sepatutnya berlaku.

“Abdul Hadi adalah seseorang yang sangat dihormati di negara ini sama ada anda suka atau tidak. Boleh amalkan kebebasan bersuara, boleh tanya soalan tetapi bukankah lebih baik jika dibuat dengan cara elok?

“Kenapa berapi-api dan provokasi? Tidak cukup dengan itu, peserta dialog itu juga bercakap dengan begitu kasar dengan beliau seolah-olah terlupa beliau adalah pemimpin penting di negara ini, tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, rakyat Malaysia akan dapat menyaksikan pilihan raya PBT dalam masa tiga tahun lagi.

Namun Mahathir pula menegaskan, ia tidak akan diadakan kerana boleh mengundang konflik antara kaum dan melebarkan jurang antara bandar dan luar bandar.

Namun Zuraida berikrar kajian mengenainya akan tetap diteruskan dengan mengikut acuan tempatan dan mengambil kira sentimen dan sensitiviti rakyat Malaysia. –MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/12/26/video-hadi-awang-tenang-walaupun-dimaki-dan-diserang-di-london/