ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka kekal dalam aliran meningkat minggu depan, menjejaki prestasi pasaran tunai yang dijangka lebih kukuh.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Research Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata, prestasi indeks utama itu dijangka tinggi susulan aktiviti menambah baik akaun berterusan sejak Jumaat minggu lepas.

“Indeks itu dijangka diniagakan dalam jajaran luas antara paras 1,674 dan 1,705 minggu depan, didorong terutama oleh aktiviti memperelok akaun,” katanya kepada Bernama.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, Disember 2018 meningkat 18.0 mata kepada 1,687.0; Januari 2019 melonjak 22.5 mata kepada 1,688.5; Mac 2019 naik 22.0 mata kepada 1,684.0 dan Jun 2019 bertambah 19.0 mata kepada 1,675.0.

Jumlah dagangan bagi minggu yang baru berakhir meningkat kepada 65,813 lot daripada 48,880 lot minggu lepas, manakala minat terbuka susut kepada 31,757 kontrak daripada 38,010 kontrak.

Petunjuk penanda aras FBM KLCI naik 21.79 mata kepada 1,692.07 daripada 1,670.28 yang direkodkan pada Jumaat minggu lepas. – MalaysiaGazette