Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir mendakwa UMNO mengalami kehancuran kerana pemimpinnya yang tamak dan menganggap manusia boleh dibeli dengan duit.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malausia (Bersatu), Tun Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri berkata, UMNO hakikat sebuah parti yang mulia dan dibangun untuk menyelamatkan kaum bangsa Melayu.

Namun katanya hari ini, UMNO telah dikalah, dihina dan tidak terdaya untuk dipulih semula.

“Malangnya yang sebenar menjadi mangsa adalah orang Melayu iaitu penduduk pribumi di negara bertuah ini kerana mereka sudah hilang jaguh mereka.

“Apakah Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang ditubuh untuk menyelamatkan orang Melayu dan bumiputera lain harus berdiam diri dan membiar kehancuran orang Melayu dan bumiputera berterusan?”

“Walaupun kita bukan pewaris UMNO tetapi kita bertanggungjawab kepada orang Melayu dan Bumiputera. Rasis, perkaumankah ini?,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu kali kedua di sini.

Turut hadir Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Seramai 1,200 perwakilan hadir pada perhimpunan selama tiga hari yang bermula semalam diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Mahathir menambah, orang Melayu pada hari ini sudah keliru kerana kehilangan pemimpin dan kehilangan haluan kerana UMNO sudah tidak ada lagi.

Jelas beliau, mereka tertanya-tanya parti yang mana yang boleh bergantung selepas ini.
“Jikalau tidak Bersatu, parti mana? Mungkinkah PAs? Saya tak nak komen. Pilihlah Pas. Ia bukan pilihan saya.

“Ya, orang UMNO memang bersalah. Tak payah saya cerita lagi. Kita semua tahu. Tetapi apakah kerana UMNO bersalah kita harus salahkan seluruh bangsa Melayu?” soalnya. – MalaysiaGazette