Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sektor pertanian menyumbang 8.2 peratus atau RM96.0 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2017.

Kelapa sawit merupakan penyumbang utama kepada KDNK sektor pertanian iaitu 46.6 peratus diikuti pertanian lain (18.6%), ternakan (11.4%), perikanan (10.5%), getah (7.3%) dan perhutanan & pembalakan (5.6%).

Eksport dan import sektor pertanian masing-masing berjumlah RM126,587 juta dan RM95,218 juta dengan imbangan perdagangan adalah RM31,369 juta.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kedua-dua eksport dan import sektor ini menunjukkan peningkatan pada 2017 berbanding 2016.

Pengeluaran tanaman tertinggi dicatatkan oleh buah tandan segar (kelapa sawit) iaitu 101,741.0 ribu tan metrik, naik 17.9 peratus.

Pengeluaran getah asli dan lada turut meningkat masing-masing sebanyak 66.6 ribu tan metrik (9.9%) dan 1.2 ribu tan metrik (4.1%). Kenaf (batang kering), biji koko dan padi menunjukkan penurunan.

Bagi subsektor ternakan, ayam merekodkan bilangan tertinggi iaitu 308.3 juta berbanding ternakan lain pada 2017.

Ini diikuti itik (10.4 juta), dan babi (1.6 juta). Manakala, ternakan kambing mencatatkan bilangan terendah iaitu 0.7 juta.

Pengeluaran akuakultur air payau/masin ialah 324.3 ribu tan metrik, naik 6.7 peratus berbanding 304.0 ribu tan metrik pada tahun sebelumnya.

Pengeluaran akuakultur air tawar dan pendaratan ikan laut masing-masing jatuh 0.8 peratus dan 7.5 peratus.

Bilangan penduduk bekerja di sektor pertanian meningkat sebanyak 21.7 ribu (1.3%) daripada 1,609.9 ribu kepada 1,631.6 ribu pada 2017 dan sektor ini didominasi oleh pekerja lelaki (77.2%). – MalaysiaGazette