Maria Chin Abdullah

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah mendesak agar Pengerusi Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman meletakkan jawatan.

Desakan itu dibuat selepas bekas Pengerusi Bersih 2.0 itu berpendapat bahawa Abdul Rashid telah memalukan jawatankuasa yang mahu sumber dan kontrak kerajaan disalurkan kepada ketua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Tolong letak jawatan dan jangan memalukan ERC dan Malaysia Baru.

“Apa beza diantara anda & Najib?” katanya di Twitter semalam.

Ahad lalu Abdul Rashid yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, menggesa kerajaan memberi kontrak secara kronisme kepada kepada ketua bahagian dan cawangan parti.

Ia bagi memastikan ketua bahagian dan cawangan parti memiliki peruntukan mencukupi, bagi membolehkan Bersatu dan PH meraih sokongan dan menang dalam pilihan raya dengan ‘apa jua cara sekalipun’. -MalaysiaGazette