Dr. Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Gesaan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya ketua-ketua bahagian diberikan kontrak kerajaan secara rundingan terus membuktikan parti itu tidak boleh mengelak daripada amalan rasuah, menyalahgunakan kuasa, kronisme dan nepotisme.

Sambil menyifatkan cadangan itu sebagai hadiah tahun baharu daripada ‘parti bunga’, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi mendakwa parti tersebut sudah mula menunjukkan belangnya.

“Inilah hadiah tahun baru daripada parti bunga. Menjanjikan harapan baru kepada ahlinya terlebih dahulu bukan kepada rakyat.

“Belang PPBM ialah “If you are in power, you must be very powerful, otherwise you are bloody fool”. (Sekiranya anda berkuasa, anda mestilah sangat berkuasa, jika tidak anda bodoh),” katanya.

Namun, Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat itu berkata, cadangan yang dibuat oleh Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman secara terang-terangan menampakkan hala tuju parti itu buruk sangat.

Apatah lagi, ia dibuat oleh bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya dan disuarakan pada perhimpunan parti.

Namun, sindirnya, ucapan Ab Rashid itu telah mendapat tepukan gemuruh daripada perwakilan sebagai tanda setuju.

“Selesai ucapan, Rashid kelihatan bersalam dengan Tun M dan Muhyiddin. Kedua duanya memberikan senyuman. Tun M macam setuju pada Rashid. Apatah lagi di ucapan penggulungannya Tun M tidak langsung menghentam balik Rashid,” katanya.

Dalam isu itu, soalnya, siapa yang lebih realistik – sama ada Ab Rashid atau Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ini kerana, sehari sebelumnya semasa persidangan Armada, tepukan gemuruh juga diberikan kepada Syed Saddiq apabila beliau menghentam Perwakilan Pemuda Wilayah yang membangkitkan isu kontrak.

Tetapi tidak sampai sehari, tepukan lebih gemuruh diberikan kepada Ab Rashid, ujarnya.

“Pantas sekali U turn. Tiada boo dan tiada ulasan dariipada Pengerusi dan Presiden parti terhadap ucapan Rashid membuktikan perwakilan parti bunga tiada pendirian, hipokrit dan boleh berubah dalam masa sehari,” katanya.

Selain membuat gesaan itu, Ab Rashid juga mahu kerajaan mengembalikan semula Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) untuk melaksanakan projek persekutuan di negeri pembangkang.

Dengan cara itu, katanya, segala projek pembangunan oleh Kerajaan Persekutuan mesti disalur ke JPP dan ketua-ketua bahagian mesti mendapat faedah daripadanya. – MalaysiaGazette