Narendra Modi

MUMBAI – Parti memerintah India, Bharatiya Janata (BJP) yakin mencatatkan kecemerlangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) tahun ini.

Parti itu percaya, kekalahan mengejut pada pilihan raya negeri tidak akan melemahkan semangat BJP dalam menghadapi saingan pembangkang kali ini.

Perdana Menteri, Narendra Modi berkata demikian dalam satu temubual eksklusif bersama Asia News International (ANI) di Mumbai semalam.

“Tiada sebab moral parti kami (BJP) runtuh. Kami masih ada keyakinan akan mara ke hadapan dan merekodkan keputusan terbaik dalam pilihan raya akan Mei ini.

“Pada 2019 ini jika ada sebuah parti yang diyakini negara dan sentiasa mengutamakan rakyat, BJP adalah parti itu,” kata Modi.

BJP yang mentadbir India ketika ini hilang kuasa memerintah di tiga negeri utama pada Disember 2018.

Ia sekaligus memberikan kekalahan terburuk untuk Modi sejak menjadi PM pada 2014.

Keputusan itu menyebabkan parti pembangkang di India iaitu Kongres yang diterajui cucu Mahatma Gandhi bertambah yakin bersama sekutu pembangkang lain dalam menghadapi pilihan raya umum pada Mei ini.

Modi berkata, adalah penting untuk kerajaan sekarang menumpukan perhatian terhadap kejayaan dan pencapaiannya termasuk pelaksanaan skim caruman kesihatan untuk warga miskin tegar di negara itu pada September lalu.

“Disebalik penderitaan dalam kelompok terbesar di India, mereka (rakyat) kini mempunyai akses untuk rawatan kesihatan terbaik.

“Jadi bagaimana saya boleh anggap ia satu kegagalan..sebaliknya ia adalah pencapaian terbesar saya,” katanya lagi.

Menurutnya, BJP sedang meneliti kelekaan yang membawa kepada kekalahan di negeri pada pemilihan Disember lalu.

“Kalah atau menang bukan kayu pengukur utama.. BJP bersedia bekerja bersama parti serantau menjelang Pilihan raya besar nanti.

“Segala usaha kami adalah membawa semua bersama dan mendengar suara rakyat..saya juga komited untuk memberikan keutamaan kepada aspirasi serantau dan ia tidak boleh ditolak begitu sahaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette