Isham Jalil
Isham Jalil

PUTRAJAYA – Tidak puas hati namanya dibuang tanpa mendapat kebenarannya dari kumpulan aplikasi WhatsApp Persatuan Penduduk Presint 10 Putrajaya, Pengerusi Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil bercadang mahu mengambil tindakan undang-undang.

Beliau yang asalnya mewujudkan aplikasi itu mendakwa, namanya telah dibuang oleh pihak tertentu, dipercayai penyokong kuat kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang turut tersenarai dalam kumpulan WhatsApp kejiranan Seri Perdana, iaitu kediaman rasmi Perdana Menteri itu.

Menurutnya, WhatsApp itu adalah kumpulan persatuan penduduk yang berdaftar dan beliau merupakan tuan punya satu ‘property’ di situ.

“Saya akan memfailkan saman ke atas pihak yang membuang nama saya dari kumpulan aplikasi WhatsApp Persatuan Penduduk Presint 10 Putrajaya, iaitu kejiranan Seri Perdana kediaman rasmi Perdana Menteri.

“Selepas nama saya dibuang, saya tidak lagi boleh menghantar status (posting) atau mengikuti perkembangan kejiranan saya di Presint 10 Putrajaya.

“Ini adalah satu bentuk diskriminasi dan double standard. Saya tahu undang-undang dan saya tahu hak saya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Isham mendakwa, pihak tertentu dalam kumpulan WhatsApp berkenaan mungkin ‘sakit hati’ dengan bahan dan artikel yang berbentuk mengkritik kerajaan PH yang dikongsinya dalam aplikasi itu.

“Mungkin ini kerana desakan daripada penyokong PH atau admin sendiri yang tidak tahan dan ‘panas’ apabila mereka membaca artikel dan hujah berfakta yang saya tulis yang tidak menyebelahi mereka,” dakwanya.

Beliau berkata, selama ini terutama sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) banyak posting anti-Barisan Nasional (BN) dan maki hamun serta cerca kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu masuk dalam kumpulan WhatsApp berkenaan, tetapi mereka tidak pun dibuang daripada kumpulan itu. – MalaysiaGazette