KUALA LUMPUR – Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) hari ini mengumumkan pelancaran Ekuinas Direct (Tranche IV) Fund (juga dikenali sebagai Fund IV) yang bernilai RM1 bilion dan berkemungkinan ditingkatkan kepada RM1.5 bilion.
Menurut syarikat itu, dana tersebut akan bertumpu pada Malaysia dengan penekanan terhadap sektor teras seperti pendidikan, minyak dan gas, barangan pengguna laris (FMCG), peruncitan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan dan juga sektor lain dengan prospek yang positif.
“Ekuinas dengan sukacitanya melancarkan dana keempatnya. Ini adalah sejajar dengan strategi dan rancangan perniagaan kami untuk fasa seterusnya.
“Bajet 2019 dilihat sebagai mempermudah dan mesra perniagaan, dengan tumpuan kukuh terhadap usaha memacu Revolusi Perindustrian Keempat (4IR),” kata Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir.
Penubuhan dana berkenan adalah berikutan penutupan dana sulungnya, Ekuinas Direct (Tranche I) Fund.
Ekuinas berjaya meraih RM2.3 bilion daripada hasil jualan, dividen dan faedah, yang digunakan untuk menubuhkan dana baharu ini.
Ini akan membawa jumlah dana di bawah pengurusan (FuM) Ekuinas sebanyak RM4.1 bilion.
Usaha Kerajaan untuk menggalakkan kerjasama dan perdagangan antara negara-negara ASEAN juga mewujudkan persekitaran perniagaan serantau dinamik, yang akan memberikan kesan positif terhadap syarikat-syarikat dan juga ekonomi tempatan.
“Kami melihat pemangkin ini sebagai faktor yang akan menyokong kadar pertumbuhan Malaysia pada 2019 dan Ekuinas akan terus berusaha untuk melaksanakan mandat dalam memperkasa syarikat-syarikat berpotensi tinggi Malaysia dengan membina asas kukuh bagi mencapai mercu pertumbuhan seterusnya, sambil menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia secara lebih meluas,” kata Syed Yasir lagi. -MalaysiaGazette
















