Polis hari ini meminta lelaki yang menyimbah air panas ke atas anak perempuannya pada Khamis lepas agar menyerah diri secara sukarela secepat mungkin bagi membantu siasatan.
Polis hari ini meminta lelaki yang menyimbah air panas ke atas anak perempuannya pada Khamis lepas agar menyerah diri secara sukarela secepat mungkin bagi membantu siasatan.

GEORGE TOWN – Polis hari ini meminta lelaki yang menyimbah air panas ke atas anak perempuannya pada Khamis lepas agar menyerah diri secara sukarela secepat mungkin bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata pihaknya tahu lokasi persembunyian lelaki itu namun berharap suspek tampil ke balai polis secara sukarela.

“Jika dia enggan, pihak polis akan menahannya,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Dalam kejadian 1 pagi di Flat Kampung Melayu, Air Itam di sini, seorang kanak-kanak berusia lapan tahun mengalami lecur tiga peratus pada lengan, rusuk dan dada kanan selepas disimbah air panas oleh bapanya yang berusia 41 tahun.

Suspek kemudian melarikan diri bersama isterinya yang berusia 38 tahun dan anak bongsu mereka.

Mengulas keadaan mangsa yang merupakan anak kedua daripada empat beradik, Che Zaimani berkata kanak-kanak itu masih dirawat di Hospital Pulau Pinang dan keadaannya dilaporkan bertambah baik.

ARTIKEL BERKAITAN: Simbah anak dengan air panas sebab habiskan makanan

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa simbah anak dengan air panas gara-gara dituduh curi RM10

Menurut beliau suspek yang bekerja sebagai ejen jualan kad prabayar merupakan seorang yang panas baran dan sering memukul anak-anaknya yang berusia tiga hingga sembilan tahun.

Semalam, polis membuat penjelasan kanak-kanak tersebut disimbah air panas oleh bapanya yang berang selepas mendapati makanan yang disediakan isterinya dihabiskan oleh anak-anak, bukan kerana mencuri wang milik ibunya seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Mengulas kes lain, Che Zaimani berkata polis menahan sembilan lelaki berusia 20 hingga 40 tahun semalam kerana bergaduh di sebuah pusat hiburan di Jalan Penang di sini.

Mereka yang dipercayai menyambut Tahun Baharu 2019 di pusat hiburan berkenaan ditahan oleh Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada 3.45 pagi di lokasi kejadian selepas polis menerima maklumat awam tentang pergaduhan itu, katanya.

“Punca sebenar mereka bergaduh masih dalam siasatan,” katanya.

— BERNAMA