Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Saifuddin Abdullah memberitahu, beliau sentiasa menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan.

Katanya, tidak pernah beliau menunjukkan sikap tidak menyokong Presiden PKR itu daripada menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad apabila cukup tempohnya.

“Bila pula saya tak sokong DSAI jadi PM kelapan?” katanya dalam ciapan balas seorang netizen menerusi laman Twitternya hari ini.

Netizen yang menamakan dirinya sebagai Dr Ishak Johari atau dRiS cuba mengulangi kenyataan Mahathir pada sidang media hari pertama Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan Persekutuan untuk memegang jawatan Perdana Menteri selama dua tahun.

Katanya, selepas itu jawatan berkenaan akan diserahkan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan.

Dalam ciapan itu, netizen berkenaan turut mengingatkan kepada Saifuddin bahawa selaku pemimpin PKR seharusnya menyokong peralihan kuasa itu.

“(Dato) Saifuddin sebagai pemimpin PKR harus sokong Anwar sebagai Perdana Menteri. Lagi cepat lagi bagus. Ini macam (seperti) tidak sokong saja,” soal  Ishak.

Sebelum ini, Saifuddin yang juga Ketua Sekretariat PH memberitahu, PH tidak pernah membincangkan tempoh Mahathir menjawat jawatan Perdana Menteri dalam mesyuarat presidennya.

Sebaliknya, menurut beliau, gabungan itu cuma membuat keputusan Anwar akan diangkat ke jawatan tersebut selepas Mahathir.

“PH cuma mempunyai keputusan dan perjanjian bahawa selepas Tun Dr Mahathir, Anwar adalah Perdana Menteri seterusnya. Kita tidak bincangkan tempoh kerana mereka saling memahami,” kata Menteri Luar Negeri itu. – MalaysiaGazette