Liew Chin Tong
Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR – Kontraktor atau pembekal yang dilantik pejabat daerah bukan pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Itu kata Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang menafikan ada pembantu ADUN atau pembantu Ahli Parlimen yang terlibat dengan peristiwa mengambil 30 peratus komisen daripada peruntukan kawasan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

“Sebenarnya, pihak yang terbabit dalam peristiwa ini ialah kontraktor atau pembekal yang dilantik oleh pejabat daerah.

“Mengikut prosedur peruntukan kawasan DUN Kerajaan Negeri Johor, kontraktor akan dilantik oleh pejabat daerah dan kontraktor tersebut akan berhubung terus dengan penerima selepas peruntukan diselaraskan oleh ADUN atau Ahli Parlimen kawasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, menurut Chin Tong, mesyuarat Majlis Pengerusi Pakatan Harapan Johor pada 1 Disember 2018 telah memutuskan tiada kontraktor boleh mengambil kesempatan atau keuntungan melalui peruntukan kawasan.

“Kami menyeru semua pihak melaporkan peristiwa sebegini kepada Pejabat Menteri Besar Johor dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Peruntukan kawasan perlu dimanfaatkan kepada masyarakat tempatan.

“Jadi kita perlu berganding bahu dan berani melaporkan penyalahgunaan peruntukan kepada agensi yang berkenaan,” katanya lagi.

Selain itu, DAP juga menyeru kerajaan negeri menyemak balik mekanisme peruntukan kawasan bagi memastikan peristiwa sebegini tidak berulang.

“Sebanyak mungkin, peruntukan kawasan haruslah disalurkan dalam bentuk tunai kepada akaun bank pertubuhan penerima dan bukan melalui pihak kontraktor,” kata Timbalan Menteri Pertahanan itu lagi.- MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2019/01/03/pembantu-kepada-menteri-minta-30-peratus-peruntukan-sebagai-komisen/