Orang asli suku kaum Temuan, Kamsiah Goming membuat dendan dan selempang untuk dijual kepada pelancong semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Kampung Orang Asli Bukit Kepong, Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 01 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Satu persidangan Orang Asli peringkat kebangsaan akan diadakan pada 11 Jan depan bagi membincangkan cadangan serta tindakan proaktif dalam menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi oleh 200,000 orang masyarakat itu di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy berkata persidangan itu anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia melibatkan penyertaan pemimpin masyarakat Orang Asli, masyarakat sivil dan ahli akademik.

“Persidangan itu akan didahului dengan perbincangan meja bulat pada 6 Jan untuk mengenal pasti isu-isu utama yang dihadapi masyarakat itu termasuk hak tanah, akses infrastruktur, pendidikan, jurang digital dan pemerkasaan belia.

“Penemuan serta resolusi daripada persidangan kebangsaan ini akan dibawa kepada masyarakat Orang Asli untuk pendapat mereka dan selepas itu suatu pelan tindakan induk akan disediakan untuk dibentangkan ke kabinet bagi pengesahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang pada 1 Jan supaya satu persidangan Orang Asli peringkat kebangsaan diadakan untuk merumuskan satu pelan tindakan bagi menaikkan taraf hidup masyarakat Orang Asli di Malaysia.

Waytha Moorthy yakin persidangan itu dan pelan tindakan Orang Asli yang akan digubal nanti dapat menangani isu-isu yang sekian lama dihadapi oleh masyarakat Orang Asli dan sekali gus memenuhi janji manifesto pilihan raya kerajaan Pakatan Harapan kepada masyarakat Orang Asli.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast