KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak terlibat dengan penamatan mahu pun pengambilan mana-mana pekerja menjaga kebersihan di kawasan sekolah.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata, proses itu dilaksanakan sepenuhnya oleh syarikat yang mendapat kontrak.

Kata KPM, jumlah tenaga kerja pembersihan yang digunakan bergantung kepada syarikat yang dilantik untuk menyediakan perkhidmatan kerja-kerja kebersihan di bangunan dan kawasan bagi sekolah atau institusi pendidikan di bawah KPM.

“Syarikat-syarikat berkaitan perlu mematuhi syarat-syarat dan skop yang ditetapkan dalam kontrak.

“Selari dengan dasar mengoptimumkan penggunaan sumber kewangan kerajaan yang diamalkan sekarang, KPM telah mengubah skop kontrak perkkhidmatan kerja-kerja kebersihan bagi syarikat-syarikat yang kontraknya berkuatkuasa 1 Januari lalu,” kata kenyataan tersebut.

Tambah kementerian, di bawah skop lama, penentuan bilangan pekerja adalah dengan mengambil kira enrolmen murid dan penghuni asrama.

Namun katanya, kriteria itu tidak lagi digunapakai dalam penentuan bilangan kontrak KBK.

“Dengan ini bilangan pekerja kebersihan yang ditetapkan adalah sekurang-kurangnya dua orang bagi Sekolah Kurang Murid (SKM) berjumlah 150 orang murid dan ke bawah, mengambilkira keperluan minimum iaitu seorang pekerja bagi pembersihan bangunan dan seorang pekerja pembersihan kawasan dan landskap sekolah.

“Bagi sekolah bukan kategori SKM, bilangan pekerjan bergantung kepada keluasan sekolah, bilangan blok dan aras setiap blok serta jumlah bilik air,” sebut kenyataan itu.

Kementerian juga menegaskan, skop kontrak pembersihan hanya melibatkan syarikat-syarikat baharu bagi menggantikan syarikat syarikat yang telah tamat kontrak mereka pada 31 Disember 2018.

Kementerian  juga menjelaskan syarikat kontraktor terlibat kebiasaannya boleh mengatur pekerjanya mengikut keperluan kontrak yang tidak hanya bergantung kepada projek kebersihan sekolah bagi menempatkan pekerjanya.

Syarikat yang diberi kontrak juga diingatkan tegas menjaga kebajikan pekerja masing-masing.

“Berhubung pandangan supaya murid turut melaksanakan kerja pembersihan, KPM tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan berhubung perkara tersebut.

“Bagaimanapun, KPM tidak ada halangan sekiranya terdapat sekolah yang ingin menugaskan murid bagi melaksanakan kerja pembersihan mudah dengan pengawasan guru tanpa abaikan kesselamatan.

“Ia tidak bermakna bertujuan menggantikan pekerja kebersihan. Amalan menjaga kebersihan ini boleh menjadi sebahagian pendidikan dan penerapan nilai murni dalam kalangan murid sekolah.

“Bahkan menjadi amalan biasa di sekolah sekolah negara maju khususnya Jepun untuk murid murid turut sama mengambil bahagian aktif secara terancang dalam aktiviti membersihkan sekolah sebagai sebahagian daripada pelaksanaan amalan nilai-nilai murni seawal peringkat sekolah rendah,” tegas kementerian.- MalaysiaGazette