Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof
Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak sesekali mahu membubarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seperti mana yang hangat diperkatakan sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara pada 9 Mei lalu.

Sebaliknya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Jakim akan diberi tanggungjawab lebih besar untuk mengepalai enam agensi agama lain di negara ini.

“Kita telah menerima arahan daripada Pejabat Perdana Menteri tentang penstrukturan semula di mana Jakim telah diberi amanah dan tugas itu.

“Ini sekaligus menjawab soalan orang Jakim ini nak dihapuskan ker…Jakim ni nak buat apa…malah Jakim diberikan amanah lebih besar untuk menjaga enam agensi yang digabungkan di bawah pentadbiran Jakim.

“Agensi yang dimaksudkan itu ialah Jauhar, Ikim, TV Hijrah, Yadiem, Yapiem dan Yayasan Waqaf Malaysia

“Semua ini digabungkan di bawah satu pentadbiran diselaras dan dimudahkan oleh Jakim yang tugasnya sekarang semakin mencabar,” katanya berucap pada Majlis Perjumpaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Bersama Warga Agensi Agama di Kompleks Islam Putrajaya, di sini, hari ini.

Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berucap pada Majlis Amanat Bersama Warga Agensi Agama di Kompleks Islam Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 07 JANUARI 2019.

Pada Februari tahun lepas, veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa Jakim ditubuhkan pada era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai usaha menjadikan UMNO “lebih Islam” daripada saingan utamanya ketika itu, Pas.

Malah Tengku Razaliegh turut menyifatkan Jakim sebagai tidak berperlembagaan susulan ia dijadikan alat untuk meningkatkan imej Islam dalam UMNO dan melihat Pas sebagai satu ancaman.

Jakim diumumkan secara rasmi pada 1997 menjadi sebahagian daripada Jabatan Perdana Menteri yang antara lain berperanan menguruskan pensijilan halal sektor makanan pengguna, industri yang bernilai berbilion ringgit.

Mujahid juga berkata, enam agensi agama lain akan terus dikawal selia secara langsung oleh pejabat menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Selain itu terdapat agensi lain seperti Jawi, JKSM, Jabatan Pendakwaan Syariah, Tabung Haji, Mawiep dan Pejabat Mufti Wilayah yang dikawal selia terus oleh pejabat menteri di Jabatan Perdana Menteri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette