Peter Genever

KUALA LUMPUR -Tanda-tanya masa depan ketua jurulatih skuasy negara, Peter Genever terjawab apabila beliau sah akan meninggalkan jawatannya selepas lebih tujuh tahun berkhidmat bersama Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM).

Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S Maniam yang mengumumkan keputusan itu berkata, Genever akan terus berkhidmat sehingga 28 Februari ini.

“Beliau mempunyai hubungan istimewa dengan pemain senior yang bekerja rapat dengannya dan dihormati oleh semua pemain di dalam skuad,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Maniam berkata, rakan jurulatih juga menghormati Genever kerana sering memberikan bantuan.

“Peter seorang yang teliti dan seorang yang berterus terang ketika mengajar dalam sesi latihan. Beliau seorang yang senang bekerja dengannya.

“Beliau memberikan kerjasama, bertanggungjawab dan pastinya berpengetahuan luas dalam bidangnya. SRAM dan terutama sekali di bahagian kejurulatihan akan merinduinya,” katanya.

Pada masa sama, Genever turut menawarkan diri untuk melatih pengganti yang bakal mengisi kekosongannya untuk beberapa bulan, bahkan sanggup menjaga pemain Malaysia jika mereka bermain atau berlatih di United Kingdom.

Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang mengatakan SRAM bakal kehilangan jurulatih berpengaruh, disebabkan beberapa faktor termasuklah isu berkaitan kontrak dan kewangan.

Kehilangan Genever bakal memberi kesan dengan kini SRAM memiliki lebih kurang 30 pemain dalam program skuad kebangsaan. – MalaysiaGazette