Mujahid
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa bercakap ketika sesi sidang media selepas selesai Majlis Penyerahan Cek kepada Sekolah Pondok Berdaftar di Kementerian Kewangan, Presint 2, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 08 JANUARI 2019

PUTRAJAYA – Pendeposit Tabung Haji tidak perlu memulangkan semula hibah yang telah diberikan kepada mereka walaupun terdapat penyelewengan akaun.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, penyelewengan akaun bagi membolehkan Lembaga Tabung Haji membayar hibah meskipun tidak merekodkan keuntungan atau memiliki aset melebihi liabiliti bukanlah masalah yang perlu ditanggung pendeposit.

“Tidak perlu dipulangkan semula.

“Kami tidak mahu menimbulkan kesukaran kepada pendeposit kerana ini adalah kesalahan yang dibuat oleh pihak pengurusan, bukannya pendeposit.

“Kami mendedahkan isu (penyelewengan) adalah untuk membetulkan semula keadaan supaya pada masa akan datang, perkara ini tidak timbul lagi.

“Apa yang sudah lepas, biarkanlah,” katanya semasa sidang media selepas menerima peruntukan kepada sekolah-sekolah pondok daripada Menteri Kewangan di sini hari ini.

Awal bulan lepas, Mujahid mendedahkan Lembaga Tabung Haji telah melakukan penipuan akaun dan membuat pembayaran hibah secara haram sejak 2014.

Semakan prestasi kewangan 2017 oleh juruaudit bebas, PriceWaterhouseCoopers (PWC) yang dibentangkan di Dewan Rakyat bulan lalu, Tabung Haji didapati telah menggunakan simpanan pendeposit untuk membayar hibah.

Bagaimanapun, atas kertas, Tabung Haji memberikan gambaran bahawa hibah dibayar menggunakan keuntungan syarikat.

Ini telah menimbulkan kegusaran kepada para pendeposit mengenai status hibah yang diterima oleh mereka selama ini. -MalaysiaGazette