Calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut melawat tempat mengundi awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Kubu Bharu. Foto MOHD ADZLAN, 07 MEI 2024.

KUALA KUBU BAHARU – Dua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu berpuas hati dengan proses undi awal yang berlangsung pagi ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao dan calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut bertembung di Maktab PDRM Kuala Kubu Baharu semasa meninjau proses undi awal.

Sock Tau tiba jam 9.09 pagi dan Khairul Azhari beberapa minit kemudian.

Khairul Azhari yang ditemui media berkata, beliau berpuas hati dengan perjalanan undian awal hari ini.

“Keadaan amat baik dan kita dimaklumkan kehadiran pengundi agak memberangsangkan hampir 50 peratus di maktab ini sudah keluar mengundi.

“Alhamdulillah saya rasa puas hati dan ini yang sepatutnya berlaku. Kita tahu polis displin mereka amat tinggi, tidak ada masalah,” katanya.

Pang Sock Tao melawat tempat mengundi awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Kubu Bharu. Foto MOHD ADZLAN, 07 MEI 2024.

Sock Tau pula berterima kasih dengan semua anggota keselamatan yang memastikan perjalanan undian awal hari ini berjalan lancar.

“Keadaan proses undi awal pagi ini berjalan lancar dan teratur,” katanya ketika ditemui media.

Proses pengundian awal berlangsung di dua pusat mengundi awal iaitu di Rejimen Semboyan Divisyen Ke-4 Infantri dan Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia, yang mempunyai tiga tempat mengundi.

Kedua-dua pusat mengundi awal dibuka mulai 8 pagi sebelum ditutup pada 5 petang.

PRK KKB menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (bebas).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser. – MalaysiaGazette