logo 1MDB
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – China menolak laporan Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa wakil-wakil dari negara berkenaan membuat tawaran untuk menyelamatkan 1MDB serta memastikan Amerika Syarikat dan beberapa negara lain menggugurkan dakwaan penyelewengan dana tersebut.

WSJ dalam laporannya semalam memetik minit mesyuarat antara wakil-wakil Malaysia dan China yang didakwa berlangsung pada 2016. Sebagai balasan, Malaysia menawarkan kepentingan dalam projek landasan kereta api, projek paip minyak bagi One Belt, One Road untuk membina infrastruktur di luar negara.

Reuters melaporkan, dalam kenyataan sebagai respon kepada laporan tersebut, kedutaan China di sini berkata, negara berkenaan tidak pernah meletakkan syarat-syarat politik dalam kerjasamanya dengan negara lain.

“China sentiasa mematuhi prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman mana-mana negara. Kami menolak sebarang tuduhan tanpa asas yang dibuat terhadap China,” kata kedutaan.

1MDB diasaskan oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhadapan dengan siasatan dan pendakwaan berkaitan penyelewengan serta penggubahan wang haram sekurang-kurangnya melibatkan enam negara.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menganggarkan kira-kira US$4.5 billion telah diselewengkan oleh pengurusan atasan itu dan sekutu-sekutu mereka.

Skandal itu menjadi faktor utama kekalahan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum Mei lalu yang kemudiannya menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kepimpinan.

Najib kini berhadapan dengan pelbagai pertuduhan berkaitan 1MDB, beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

Dalam kenyataannya di laman Facebook semalam, Najib menafikan tuduhan WSJ dan menegaskan bahawa China tidak pernah menawarkan cadangan untuk menyelamatkan 1MDB.

ARTIKEL BERKAITAN: 1MDB: Guan Eng mahu tengok minit mesyuarat China-Malaysia

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika diminta mengulas isu tersebut berkata, beliau ingin melihat sendiri minit mesyuarat tersebut sebelum dapat membuat sebarang kenyataan.

Manakala Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali pula memberitahu, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung minit mesyuarat itu, bagaimanapun, katanya kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan segala isu berkaitan akan disiasat dengan telus. – MalaysiaGazette

 

http://malaysiagazette.com/blog/2019/01/08/china-pernah-tawarkan-bantuan-selamatkan-1mdb/