Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mengakui pegawai-pegawai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri memainkan peranan penting dalam pertumbuhan perdagangan negara.

Namun, katanya, peranan dasar pelaburan, ekonomi dan hubungan antarabangsa antara negara yang dimainkan oleh kerajaan juga tidak kurang pentingnya.

Disebabkan peranan dasar-dasar itu juga, beliau dipersalahkan kerana membawa kemasukan pelaburan MCKIP di Kuantan, Melaka Gateway, Forest City dan pengambilalihan kepentingan 49 peratus saham Proton oleh Geely.

Sehinggakan satu tahap beliau didakwa menjual negara, kata bekas Perdana Menteri itu.

“Semalam, MITI di bawah kerajaan PH mengeluarkan kenyataan bahawa pelaburan di Malaysia mencecah RM1.9 trilion untuk 10 tahun ini dan kadar pertumbuhan perdagangan antarabangsa bagi tahun 2017 ialah paling tinggi dalam tempoh 13 tahun – bermakna dasar dan strategi kerajaan BN semasa saya PM adalah baik.

“DAP terasa. Mereka tidak puas hati. Mereka panas.

“Timbalan Menteri DAP ini kata semua ini jasa pegawai MITI sahaja – bukan kerana Najib ataupun BN. Najib dan BN tak payah ambil kredit, dia kata,” kata Najib.

Lantaran itu, sindir beliau, hari ini pelaburan MCKIP di Kuantan, Melaka Gateway, Forest City dan penguasaan 49 peratus Geely ke atas Proton bukan lagi jual negara.

“Kini semua ini baik untuk negara. Tapi Najib tak boleh ambil kredit. Habis itu yang dulunya “jual negara” dengan projek-projek ini bukan saya?

“Yang jual negara masa itu ialah MITI ke?,” soal Najib. – MalaysiaGazette