Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri Semenyih, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Semenyih

SEMENYIH – Jenazah ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Mohd. Bakhtiar Mohd. Noor selamat dikebumikan kira-kira pukul 2.56 petang tadi.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir di sini.

Upacara pengkebumian Allahyarham disaksikan lebih 200 orang terdiri daripada penduduk sekitar Semenyih, sanak saudara dan beberapa ahli politik.

Allahyarham yang meninggal dunia akibat serangan jantung sebelum itu dibawa pulang ke rumahnya di Jalan Sungai Lalang, Sungai Tekala di sini dari Hospital Kajang untuk penghormatan terakhir.

Jenazah kemudiannya disembahyangkan di Masjid Kariah Kampung Pasir yang diimamkan oleh ADUN Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri.

Solat jenazah yang dilakukan selepas solat Jumaat itu disertai lebih kurang 300 jemaah.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shaari dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meluangkan masa melawat jenazah Allahyarham.

Sementara itu, anak ketiga Allahyarham Fitri Al-Amin Mohd. Bakhtiar, 22, ketika ditemui selepas pengkebumian tersebut berkata, keluarganya tidak mengetahui Allahyarham menghidap sakit jantung.

Katanya, mereka hanya mengetahui mengenai perkara tersebut selepas diberitahu oleh pihak hospital yang mengesahkan kematian Allahyarham awal pagi tadi.

“Tiga hari lepas ibu ada bawa ke klinik. Doktor bagi ubat gastrik sahaja.

“Malam tadi dia kata sesak nafas, saya dan ibu bawa dia ke hospital Kajang sampai saja di hospital dalam pukul 3 pagi, doktor bawa ke bahagian kecemasan.

“Lepas satu jam kemudian doktor itu mengesahkan arwah dah tiada,” katanya dalam nada teresak-esak.

Fitri memberitahu, ketika dalam perjalanan ke Hospital Kajang malam tadi ayahnya berpesan supaya dia dan abangnya menjaga adik dan ibu, seolah-olah mengetahui ajalnya akan tiba.

“Semalam bila bawa ke hospital dia kata abah dah nak pergi dah. Dia suruh saya jaga adik dan emak,” ujarnya yang mengakui Allahyarham ada menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Tambah Fitri lagi, tidak ada sebarang perubahan sikap yang ditunjukkan oleh ayahnya sejak kebelakangan ini dan beliau hanya mengadu mengalami kesukaran untuk tidur pada waktu malam akibat sesak nafas. – MalaysiaGazette